MALAYSIA Airports Holdings Bhd (MAHB) akan memungut hutang Caj Perkhidmatan Penumpang (PSC) yang berjumlah RM41.5 juta daripada Air Asia selepas mahkamah tinggi memutuskan untuk memihak kepada MAHB dalam saman sivil baru-baru ini.
“Dalam usaha untuk terus menjalankan perkara mengikut undang-undang, Malaysia Airports akan mengambil langkah untuk memungut PSC yang tertunggak daripada AirAsia seperti diputuskan oleh mahkamah tinggi pada 18 Julai lalu,” kata MAHB dalam satu kenyataan.
Syarikat penerbangan tambang rendah itu diperintahkan untuk membayar PSC yang tertunggak kepada MAHB selepas AirAsia enggan mengutip levi pada kadar ditetapkan untuk tempoh enam bulan.
“Nilai anggaran yang dikutip ialah RM41.5 juta terdiri daripada perbezaan PSC sebelumnya dan semasa bagi penumpang antarabangsa bukan Asean serta caj pembayaran lewat,” katanya.
Pengendali 39 lapangan terbang di negara ini menegaskan bahawa tanggungjawabnya terletak pada memastikan perkhidmatan dan kemudahan di semua lapangan terbang dikekalkan pada tahap optimum untuk kedua-dua penumpang serta syarikat penerbangan.
Tambahnya, industri penerbangan di mana ia beroperasi akan dikawal selia dan PSC ditentukan oleh Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM), sebuah badan bebas yang ditugaskan oleh kerajaan untuk mengawal hal-hal ekonomi serta komersial dalam industri penerbangan.
“Kami telah berkali-kali menjelaskan bahawa caj PSC tidak diputuskan atau dikenakan oleh kami sebaliknya ia ditetapkan dan dikawal oleh Mavcom serta kerajaan,” katanya.
Dalam kenyataan itu MAHB berkata, ia adalah tanggungjawab mereka untuk mengenakan caj PSC seperti diwartakan oleh Mavcom.
MAHB juga menekankan bahawa saman sivil terhadap AirAsia adalah disebabkan kegagalan syarikat penerbangan tambang murah itu untuk membuat pembayaran PSC berdasarkan kadar ditetapkan oleh Mavcom. – 23 Julai, 2019.
Komen