Syed Saddiq akan buat laporan polis kerana mendakwa diugut


Diyana Ibrahim

Ketua Pemuda Bersatu Syed Saddiq Abdul Rahman berkata keputusan untuk membuat laporan ke SPRM masih dalam perbincangan dan akan ditentukan selepas mendapat nasihat daripada pihak polis. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 3 Oktober, 2017.

SYED Saddiq Abdul Rahman akan membuat laporan polis esok berhubung dakwaan mengenai ugutan ke atas keluarganya daripada pihak yang menawarkan wang sogokan RM5 juta untuk keluar Bersatu.

Ketua Pemuda Bersatu itu juga akan mendapatkan saranan polis sama ada perlu untuknya membuat laporan di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan wang sogokan itu.

“Tidak ada tekanan mana-mana pihak untuk saya buat laporan, tapi saya akan buat ini untuk melindungi ahli keluarga saya.

“Apabila saya berjumpa dengan polis baru saya putuskan sama ada akan pergi ke SPRM untuk membuat laporan, perkara ini masih dalam perbincangan,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insight.

Semalam dalam temubualnya dengan The Malaysian Insight, Syed yang merupakan antara pengasas Bersatu mendakwa ugutan terhadap keluarganya menjadi punca dirinya tidak dapat bertahan lagi hingga menyebabkan beliau mendedahkan mengenai sogokan wang ke atasnya.

Rata- rata pengguna sosial media dan pemimpin politik mengenai ketua pemuda berusia 25 tahun itu membuat laporan ke atas SPRM berhubung dakwaannya tentang wang sogokan seperti didedahkan dalam sidang media semalam.

Dalam temubual dengan The Malaysian Insight semalam, Syed Saddiq mendakwa beliau dihampiri tiga kali sejak Jun tahun lalu untuk tawaran biasiswa menyambung pengajian di Universiti Oxford.

Menurutnya, selepas Oxford menawarkan biasiswa sebanyak hampir £70,000 (RM392,000) untuk meneruskan pengajian dalam bidang dasar awam, seorang ahli perniagaan menawarkan wang kepadanya untuk menyambung pengajian. 

“Pada kali pertama, seorang ahli politik datang bertemu dengan saya pada Jun 2016 dan menawarkan RM500,000 untuk meneruskan pengajian. 

“Kali kedua dia datang bersama seorang ahli perniagaan antara November dan Disember 2016.

“Ketika itulah dia menawarkan RM5 juta dalam bentuk geran untuk menubuhkan sekolah debat yang saya mahu mulakan. 

“Rabu lalu, mereka jumpa saya lagi dan berkata ini adalah tawaran terakhir. Mereka tahu kelas di Oxford bermula minggu depan dan saya perlu membuat pilihan sama ada untuk terima tawaran itu atau ia ditutup.” 

Bagaimanapun, ancaman terhadap keluarga mendorongnya untuk menolak tawaran wang daripada mereka untuk meninggalkan negara ini sebelum pilihan raya umum ke 14. 

Syed Saddiq bagaimanapun enggan menjelaskan butiran ancaman itu dan menegaskan ia tidak melibatkan sebarang salah laku jenayah.

“Mereka cuba mendapatkan orang terdekat dengan saya kerana mereka tahu wang sahaja tidak cukup untuk mengubah pendirian saya. 

“Mereka mengugut untuk mendedahkan sesuatu tentang ibu bapa atau abang saya. Ia tidak bermakna keluarga saya melakukan apa-apa perkara yang slaah namun ancaman itu sangat peribadi,” katanya yang enggan mengulas lanjut.

Mengakui walaupun tawaran itu tidak salah di sisi undang-undang, beliau mengatakan memiliki rakaman audio dan beberapa bukti lain bahawa ia sememangnya berlaku. 

Terdahulu, bercakap kepada Malaysiakini, sejak itu katanya beliau berhubung dengan Dr Mahathir dan presiden Bersatu Muhyiddin Yassin.

“Saya berbincang dengan Tan Sri (Muhyiddin) semalam dan kepada Tun (Dr Mahathir) hari ini. Mereka sangat membantu,” kata Syed Saddiq. – 3 Oktober, 2017.


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen