Perang mulut meletus dalam perbicaraan skandal SRC International


Bede Hong Timothy Achariam

Perang mulut itu panas apabila Sithambaram membantah Harvinderjit ketika beliau menyoal pengurus AmBank Joanna Yu di dalam kamar mahkamah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Julai, 2019.

PERTIKAMAN lidah antara pihak pendakwaan dan pembelaan dalam perbicaraan berhubung skandal SRC International hari ini hangat apabila pihak peguam pihak pendakwaan V. Sithambaram menggelarkan peguambela Harvinderjit Singh sebagai seorang yang “menyedihkan”.

Perang mulut itu panas apabila Sithambaram membantah Harvinderjit ketika beliau menyoal pengurus AmBank Joanna Yu di dalam kamar mahkamah.

Harvinderjit: Baiklah, jika kamu ingin menjadi orang yang terlalu teliti, maka baiklah.

Sithambaram: Kamu ini menyedihkan.

Harvinderjit: Maaf?

Sithambaram: Saya kata, kamu ini menyedihkan.
 
Saat itu, kamar mahkamah terdiam sehingga hakim perbicaan Mohd Nazlan Mohd Ghazali memerintahkan peguam untuk mengelakkan kata-kata seperti itu semasa perbicaraan.

Perang mulut panas itu berlaku selepas Harvinderjit menyoal Yu mengenai hubungannya dengan usahawan yang kini menjadi buruan Low Taek Jho dan sama ada dia menerima arahan daripada lelaki itu dalam transaksi akaun.

Pihak pendakwaan sebelum ini memberitahu Harvinderjit supaya lebih “lembut dengan saksi wanita.”

Harvinderjit berhujah bahawa saksi itu tidak menjawab secara langsung soalan tersebut.

“Saya dah cuba cara lembut. Sekarang, saya harus guna cara kasar,” kata peguam bela itu.

Nazlan kemudian memberitahu Yu untuk menjawab ya atau tidak kepada soalan tersebut, di samping turut menambah bahawa dia boleh menjelaskan jawapannya semasa pemeriksaan semula oleh pihak pendakwaan.

Ketika soal balas oleh Harvinderjit pada awalnya, Yu tetap mengatakan bahawa dia hanya bertindak mengikut arahan bertulis daripada pengarah pengurusan SRC Nik Faisal Ariff Kamil.

Mengenai Low pula, Yu mengatakan dia hanya menurut arahan-arahannya bertujuan mengelakkan cek-cek milik Najib melambung kerana tidak mahu perkara itu berlaku terhadap perdana menteri.

Harvinderjit: Dengan kedudukan anda yang mempunyai hubungan dengan akaun-akaun tersebut, anda tak ikut arahan Jho Low, betul atau tidak?

Yu: Saya ikut bila dia kata ‘jangan biarkan cek itu melambung’. Itu saja.

Harvinderjit: Bagi keempat-empat akaun itu, anda berterusan mengikut arahan-arahan daripada Jho Low, setuju atau tak?

Yu: Saya tak berapa faham soalan itu.

Harvinderjit: Jho Low, dalam banyak keadaan, mengarahkan kamu untuk mengutus e-mel kepada Nik Faisal. Adakah kamu ikut?

Yu: Ya. 

Harvinderjit menyatakan Yu adalah penghubung komunikasi antara Low dan Nik Faisal. Wanita itu bagaimanapun mengatakan mereka berdua tidak memerlukannya untuk menjadi penghubung.

Yu kemudian menafikan dia yang memberitahu arahan-arahan daripada Low kepada Nik Faisal.

Harvinderjit: Adakah kamu setuju bahawa kamu mendapat arahan-arahan sebenar daripada Jho Low, walaupun kamu memerlukan arahan bertulis daripada Nik Faisal?

Yu: Kami hanya bertindak dengan arahan bertulis. Kami hanya boleh bertindak dengan arahan bertulis.

Harvinderjit: Saya tak tanya itu. Saya beritahu kamu bahawa kamu terima arahan daripada Jho Low dan maklumkan kepada Nik Faisal?

Yu: Tidak.

Harvinderjit: Adakah surat yang kamu drafkan sendiri mewakili Nik Faisal dan hantar kepada dia untuk ditandatangan.

Yu: Ya.

Yu mengatakan dia membantu untuk mendraf dokumen kepada Nik Faisal, kerana dia tidak tahu melakukannya. Nik Faisal kemudian akan menelitinya dan tandatangan.

Najib kini  berdepan dengan tuduhan jenayah pecah amanah, tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan salah guna kuasa.

Bekas perdana menteri berusia 66 tahun itu diwakili beberaa peguam yang diketuai Muhammad Shafee Abdullah, sementara Peguam Negara Tommy Thomas mengetuai pihak pendakwaan. – 23 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen