Hanya naratif nasional boleh tangani politik kaum, kata forum di UKM


Chan Kok Leong

Peguam Syahredzan Johan yang menjadi panel di Forum Naratif Malaysia: Masa Depan Politik Kaum dan Agama di UKM Bangi hari ini berkata, Malaysia perlu satu naratif nasional yang inklusif jika ia mahu menghapuskan politik kaum dan agama. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Julai, 2019.

MALAYSIA perlu satu naratif nasional untuk membendung kemunculan politik haluan kanan, kata panel sebuah forum tentang kaum dan agama di Universiti Kebangsaan Malaysia hari ini.

Naratif nasional itu harus melibatkan semua kaum dan diiringi dengan dasar kebudayaan yang konsisten, kata mereka.

“Malaysia perlu satu naratif nasional yang inklusif jika ia mahu menghapuskan politik kaum dan agama,” kata peguam Syahredzan Johan.

Beliau menyertai barisan panel di Forum Naratif Malaysia: Masa Depan Politik Kaum dan Agama anjuran Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (Ikmas), UKM, di Bangi, hari ini.

Setiausaha politik kepada Ahli Parlimen Iskandar Puteri Lim Kit Siang berkata naratif nasional itu dibangunkan daripada perspektif nasional, yang membezakan rakyat mengikut kaum, agama atau kelas.

“Tidak harus ada pengecualian dan semua pihak harus menjunjung undang-undang, Perlembagaan Persekutuan dan hak asasi manusia,” katanya.

Syahredzan berkata, cadangan dasar ekonomi Kemakmuran Bersama, yang mahu mengetengahkan pengagihan kekayaan secara adil dan saksama, adalah satu contoh dasar yang baik.

“Tetapi jangan hanya jadi slogan semata-mata. 1Malaysia pun idea yang baik tetapi ia tidak lebih daripada itu,” katanya.

Pensyarah sains politik UKM Dr Helen Ting menarik perhatian kepada senario politik Malaysia yang dibentuk oleh dasar yang tidak selari.

“Ini antaranya termasuk Dasar Ekonomi Baru (1971-1990), Dasar Kebudayaan Kebangsaan (1971) dan dasar Islamisasi pada dekad 1980-an,” katanya.

DEB muncul sebagai jawapan kepada rusuhan berdasar 13 Mei 1969 dengan matlamat mengagihkan kekayaan secara adil.

Dasar Kebudayaan Kebangsaan pula bertujuan membentuk satu kebudayaan nasional dengan semangat Nusantara dan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Merujuk pada dasar kebudayaan, Ting berkata dasar itu mencetuskan keresahan dalam kalangan bukan Melayu dan gagal mencapaikan matlamat untuk menyatupadukan rakyat.

“Pada 1970-an, misalnya, masyarakat Cina kurang berminat pada hal-hal misalnya seperti tarian singa. Tetapi selepas seorang menteri mencadangkan supaya singa ditukar kepada harimau kerana di Malaysia tidak ada singa, dan ganrti gendang tarian singa dengan gendang tempatan, masyarakat Cina memberikan minat yang lebih mendalam kepada tarian singa.

“Dasar itu bertentangan dan lebih membawa banyak mudarat daripada manfaat untuk integrasi nasional,” kata Ting.

Pensyarah Universiti Nasional Singapura, Dr Azhar Ibrahim pula berkata Malaysia harus kembali kepada Rukunegara.

“Seperti Pancasila di Indonesia, Rukunegara adalah satu falsafah kebangsaan yang sangat mustahak. Tetapi hanya sedikit yang diketahui tentang asal usul dan rasional di sebaliknya.

“Di Indonesia, ada banyak buku yang ditulis tentang Pancasila dan falsafahnya masih dibahas dan diajar di sekolah,” kata pensyarah pengajian Melayu itu.

Menurut Azhar, jalan ke depan yang terbaik ialah menanam rasa kebangsaan dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Ini harus dimula di sekolah ketika murid belajar untuk jadi warganegara yang baik. Tidak cukup hanya bercakap soal bertolak ansur.

“Negara pelbagai kaum perlu merayakan perbezaan dan bukannya bertolak ansur. Orang berbeza tetapi mereka boleh belajar bersama sekiranya mereka berpegang pada nilai sejagat,” kata Azhar.

Forum itu dikendalikan felo Ikmas, Haris Zuan dan turut menampilkan Setiausaha Gerakan, Mak Kah Keong.  – 23 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen