Sabotaj punca gangguan bekalan elektrik di Venezuela


Siasatan awal mendapati "serangan elektromagnetik" punca kepada kejadian bekalan elektrik terputus di kebanyakan wilayah di Venezuela pada awal Isnin. – Gambar EPA, 23 Julai, 2019.

SIASATAN awal mendapati “serangan elektromagnetik” punca kepada kejadian bekalan elektrik terputus di kebanyakan wilayah di Venezuela pada awal Isnin, lapor agensi berita Xinhua, demikian menurut seorang pegawai.

Menteri Komunikasi dan Maklumat Jorge Rodriguez berkata, perbuatan Sabotaj itu menjejaskan sistem penjanaan hidroelektrik negara, pembekal utama tenaga elektrik di Venezuela.

“Gangguan pada 4.40 petang waktu tempatan (2040 GMT) itu menjejaskan kebanyakan negeri (kira-kira 17 negeri).  Perkhidmatan telekomunikasi dan lalu lintas juga terjejas.

“Justeru pihak pemerintah telah melaksanakan protokol perlindungan dan keselamatan yang membolehkan proses penyambungan semula dilakukan untuk memulihkan penggunaan tenaga elektrik,” kata Rodriguez.

Kerajaan juga telah mengaktifkan mekanisme khas dengan menempatkan kakitangan sebagai persediaan untuk menghadapi situasi luar jangka dalam sektor pengangkutan, menjamin bekalan air dan mengawasi keadaan di pusat kesihatan, katanya.

Kejadian gangguan bekalan elektrik adalah biasa di Venezuela, sebuah negara yang ekonominya terjejas di tengah krisis politik selama bertahun-tahun.

Venezuela masih dihantui kesan keganasan besar-besaran yang berlaku pada 7 Mac yang menyebabkan negara itu lumpuh selama beberapa hari. – Bernama, 17 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen