Afghanistan mohon 'penjelasan' komen Trump berhubung perang


Pakistan adalah penaja utama Taliban ketika mengambil alih kuasa di Afghanistan pada tahun 1990-an. – Gambar AFP, 23 Julai, 2019.

PRESIDEN Afghanistan Ashraf Ghani berkata pada hari Selasa bahawa Amerika Syarikat (AS) perlu menjelaskan kenyataan Presiden AS Donald Trump mengenai Afghanistan, termasuk dakwaannya yang mengatakan beliau dengan mudah memenangi perang dengan negara itu tetapi tidak “mahu membunuh 10 juta orang”.

Pemimpin AS itu membuat beberapa kenyataan mengejutkan pada hari Isnin bersama Perdana Menteri Pakistan Imran Khan di White House, termasuk rancangannya untuk segera menamatkan konflik di Afghanistan, tetapi ia akan menghapuskan negara itu “dari muka Bumi”.

Afghanistan “akan hilang, dalam tempoh 10 hari,” kata Trump, di samping turut menambah, “Saya tidak mahu pilih jalan itu” dan beliau tidak mahu membunuh berjuta-juta rakyatnya.

Komen itu justeru mencetuskan kemarahan awam di Afghanistan, ketika penduduk negara  itu masih merasakan keletihan peperangan dan menanggung trauma di samping bimbang dengan usaha penarikan diri pasukan ketenteraan AS yang mungkin menyebabkan pemerintahan Taliban kembali berkuasa.

“Kerajaan Republik Islam Afghanistan meminta penjelasan mengenai kenyataan presiden AS yang dinyatakan dalam pertemuan dengan perdana menteri Pakistan, dengan pendekatan dan saluran diplomatik,” kata pejabat Ghani dalam satu kenyataan.

Trump juga berkata Pakistan akan membantu Amerika Syarikat “melepaskan” dirinya dari konflik yang berlaku di Afghanistan. Beliau turut mengatakan terdapat “potensi besar” dalam hubungan antara Washington dan Islamabad.

Afghanistan sering menyalahkan Pakistan dengan mendakwa negara jirannya itu menjadi antara punca konflik di Afghanistan selain turut menyokong Taliban. 

Ghani juga turut dilaporkan berang dengan tindakan AS yang sering mengetepikan beliau dalam perbincangan damai dengan Taliban.

Pakistan adalah penaja utama Taliban ketika mengambil alih kuasa di Afghanistan pada tahun 1990-an.

Pengaruh besar Pakistan terhadap kumpulan yang melancarkan pemberontakan sejak digulingkan pasukan ketenteraan yang dipimpin AS pada tahun 2001, dilihat sebagai kunci dalam penyelesaian politik dengan kerajaan yang kini diketuai Ghani.

“Walaupun kerajaan Afghanistan menyokong usaha Amerika Syarikat untuk memastikan keamanan di Afghanistan, kerajaan tetap menggariskan bahawa ketua negara asing tidak menentukan nasib Afghanistan tanpa melalui perbincangan dengan pimpinan Afghanistan,” kata pejabat Ghani. – AFP, 23 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen