Peguam desak Singapura batal hukuman gantung OKU bermasalah mental


Alfian Z.M. Tahir

Rayuan pembatalan hukuman itu disuarakan peguam hak asasi manusia N. Surendran yang mengatakan kepada pemberita bahawa Singapura akan terjerumus ke dalam amalan "barbarisme" jika ia meneruskan pelaksanaan hukuman tersebut. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Julai, 2019.

KERAJAAN Singapura hari ini didesak untuk tidak meneruskan pelaksanaan hukuman mati terhadap pesalah warga Malaysia yang disabitkan kesalahan menyeludup dadah. 

Desakan ini berikutan Nagaenthran Dharmalingam yang dijatuhkan hukuman tersebut telah dibuktikan mempunyai masalah mental.

Rayuan itu disuarakan peguam hak asasi manusia N. Surendran yang mengatakan kepada pemberita bahawa republik itu akan terjerumus ke dalam amalan “barbarisme” jika ia meneruskan pelaksanaan hukuman tersebut.

“Nagaenthran, memang tak dapat dinafikan, menanggung masalah ketidakupayaan mental dan ini disahkan oleh pakar psikiatri bebas. Bukti mengenai keadaannya telah diserahkan kepada mahkamah,” kata Surendran yang merupakan penasihat kepada organisasi Lawyers for Liberty (LfL).

“Melaksanakan hukuman mati terhadap seseorang yang mengalami ketidakupayaan mental adalah bertentangan dengan norma undang-undang antarabangsa, dan bertentangan dengan prinsip Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengenai hukuman mati dan bahkan bertentangan dengan undang-undang Singapura sendiri.

“Ini adalah hal yang serius, kita terkejut dan kecewa, Singapura dilihat mengamalkan barbarisme sekiranya mereka meneruskan pelaksanaannya, dan kami harap mereka dapat meneliti semula seterusnya membatalkan hukuman mati itu.”

Menurut laporan sebelum ini, Nagaenthran memiliki IQ sebanyak 69, di mana para hakim, termasuk mereka yang mewakili Mahkamah Rayuan, menerima dan mengesahkannya.

Laporan itu menyatakan bahawa Nagaenthran adalah antara mereka yang mempunyai “fungsi berfikir yang sangat rendah,” menurut ujian WAIS-IV yang diiktiraf di peringkat antarabangsa, di mana ia boleh mengukur kebolehan kognitif.

Wakil psikiatri pendakwaan juga mengesahkan bahawa Nagaethran mempunyai masalah gangguan hiperaktiviti perhatian defisit (ADHD) sekaligus menyebabkan fungsi kemahiran eksekutifnya (termasuk kelancaran lisan, perubahan set, penalaran abstrak, strategi formatif, dan kebolehan penyelesaian masalah) terjejas.

Nagaenthran yang berusia 30 tahun itu kini ditahan di Singapura pada sejak 2009 selepas 42.72g heroin ditemui terikat di pahanya. Dia kemudian didapati bersalah dan dihukum mati oleh mahkamah pada bulan November 2011.

Dia sebelum ini mengaku di hadapan Biro Narkotik Pusat (CNB) bahawa dia tahu bungkusan itu mengandungi heroin dan turut mendedahkan seorang kawan yang dikenali sebagai “Raja” telah mengikat bungkusan itu di pahanya supaya orang tidak dapat menemuinya. – 23 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen