SETIAUSAHA politik Presiden PKR Anwar Ibrahim, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak dibebaskan hari ini selepas ditahan reman sejak seminggu lalu.
Farhash ditahan berhubung siasatan mengenai penyebaran video seks didakwa mengaitkan Timbalan Presiden PKR Azmin Alin.
Setelah dibebaskan di Balai Polis Dang Wangi, Farhash memberitahu pemberita bahawa polis telah “merampas kebebasannya” kerana menahannya tanpa alasan.
“Saya tidak kelihatan seperti Azmin Ali, kenapa mereka tak panggil dan ambil kenyataan dia. Tetapi mereka pilih tahan saya seperti seorang pembunuh,” katanya.
Beliau yang juga merupakan setiausaha politik kepada Anwar Ibrahim turut dilaporkan melaungkan “Azmin semburit” ketika memberi ucapan kepada penyokongnya yang berkumpul di hadapan Balai Polis Dang Wangi.
Laungan “Azmin semburit” itu diucapkan selepas slogan “reformasi” dan “Anwar for PM” yang menjadi slogan wajib di kalangan aktivis PKR.
Farhash dan Haziq Abdullah Abdul Aziz ditahan enam hari lalu dengan perintah reman mereka dilanjutkan selepas hari ketiga sehingga hari ini.
Farhash yang juga Pengerusi PKR Perak hari ini berkata, polis pada mulanya cuba menahannya selama dua minggu.
“Mereka mahu menahan saya selama tujuh hari dan kemudian menambah lagi tujuh hari. Nasib baik kami ada peguam yang baik dan mereka membantahnya (untuk menahan saya).
“Selama lapan hari, polis yang siasat kes ini juga tertanya-tanya. Kenapa tahan saya dan bukan Azmin Ali?”.
Beliau juga menganggap penahanannya sebagai “konspirasi politik” terhadap Anwar.
“Saya rasa ada konspirasi politik terhadap Anwar Ibrahim. Sekiranya Ketua Polis Negara ada kredibiliti, tangkap Azmin Ali,” katanya sebelum meninggalkan balai polis dengan sekumpulan penyokong.
Farhash dan Haziq meninggalkan balai polis kira-kira jam 4 petang dan disambut oleh penyokong PKR yang menunggu sejak jam 1 petang lagi.
Seorang lagi yang dibebaskan hari ini adalah seorang lelaki yang ditahan polis berhubung siasatan video seks tetapi identitinya tidak diketahui. – 23 Julai, 2019.

Komen