Mahkamah benar Najib dapatkan dokumen bank


Bede Hong Timothy Achariam

Bekas perdana menteri Najib Razak dibenar mendapatkan dokumen berkaitan akaunnya di AmBank bagi perbicaraan kes SRC International. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 23 Julai, 2019.

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini membenarkan bekas perdana menteri Najib Razak mendapatkan dokumen berkaitan akaunnya di AmBank bagi perbicaraan kes SRC International.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali berkata siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang masih berjalan tidak akan terjejas jika pihak pembela mendapatkan dokumen tersebut.

Menurut Nazlan, peguam bela hanya dibenarkan mengambil dokumen yang bukan dikategorikan sulit berkaitan perbicaraan kes SRC International.

Terdahulu, pasukan peguam bela Najib mengemukakan hujah bagi mendapatkan perintah mahkamah membatalkan arahan SPRM kepada AmBank supaya tidak memberi maklumat mengenai akaun bekas perdana menteri itu.

Pasukan pembelaan yang diketuai peguam Muhammad Shafee Abdullah memohon untuk mendapatkan dokumen seperti salinan yang disahkan, imej cek dan penyata akaun.

Nazlan berkata  tiada peruntukan undang-undang termasuk Akta SPRM dan Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 yang memberikan SPRM kuasa menghalang bank memberi dokumen kepada Najib.

Hakim juga bersetuju dengan hujah pihak pembelaan bahawa terdapat perbezaan dalam kenyataan akhir saksi, iaitu bekas pegawai perhubungan AmBank, Joanna Yu dengan draf keterangannya pada Januari.

Pasukan pendakwaan membantah pembelaan menggunakan draf itu ketika sesi pemeriksaan balas. 

Pasukan pembelaan memberitahu mahkamah terdapat perbezaan mengenai kali pertama Yu bertemu ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho. Menurut mereka, ianya lebih awal berbanding yang dinyatakan dalam kenyataan akhir saksi. – 23 Julai, 2019.

Berita penuh di sini.      


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen