Tindakan Sosma ke atas pesalah yang melakukan sabotaj, kata KPN


Ragananthini Vethasalam

Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador berkata, Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) akan dikenakan terhadap pesalah yang terlibat melakukan perbuatan sabotaj sehingga berlaku pencemaran bekalan air. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 23 Julai, 2019.

AKTA Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) akan dikenakan terhadap pesalah yang terlibat melakukan perbuatan sabotaj sehingga berlaku pencemaran bekalan air, kata Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador.

Hamid berkata, beliau telah mengarahkan polis Selangor untuk mengetuai siasatan kes pencemaran Sungai Selangor yang berlaku dua kali dalam masa terdekat sehingga menyebabkan gangguan bekalan air kepada lebih sejuta isi rumah di Lembah Klang.

“Kami serius dalam isu ini. Kami akan kenakan tindakan undang-undang yang paling serius sekiranya ada tangkapan dibuat.

“Adalah wajar untuk menangkap mereka yang menyalahgunakan sebarang kemudahan asas di bawah Sosma dan akan didakwa di bawah undang-undang serius,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada program Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan 2019-2023 di Kuala Lumpur hari ini.

Menurutnya, polis akan menangani kes pencemaran itu dengan serius kerana berjuta-juta orang telah terjejas.

Sebelum ini Hamid berkata, mereka yang didapati bersalah melakukan perbuatan sabotaj akan ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang berkuat kuasa pada masa itu.

Penahanan tanpa perbicaraan undang-undang bagaimanapun telah dimansuhkan pada 2012. – 23 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen