SIASATAN kes video seks masih berjalan, kata Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador ketika menjawab soalan wartawan sama ada polis akan memanggil pemimpin politik untuk soal siasat tidak lama lagi.
“Siasatan masih aktif berjalan,” katanya selepas majlis pelancaran Strategi Nasional untuk Kecelikan Kewangan 2019-2023 di Kuala Lumpur hari ini.
“Bila kami siapkan siasatan, kami akan hantar kertas siasatan kepada AG (peguam negara).
“Bila saya kata masih berjalan, bermakna sesiapa sahaja boleh dipanggil sebagai saksi atau apa sahaja. Itu sebahagian daripada siasatan polis.”
Hamid mengulas laporan yang pemimpin kanan parti politik berkemungkinan besar akan dipanggil untuk soal siasat dalam kes skandal seks didakwa melibatkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali yang juga timbalan presiden PKR.
Pemimpin politik terbaru yang disoal siasat semalam ialah Adun Kota Anggerik Najwan Halimi di Bukit Aman selama 90 minit.
Adun penggal pertama PKR itu disoal siasat sebelum dibebaskan. Ia disahkan sumber PKR dan polis.
Polis setakat ini sudah menahan 11 orang termasuk Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak yang merupakan setiausaha politik kepada Anwar Ibrahim.
Sembilan daripada mereka sudah dibebaskan, dua lagi- Farhash dan Haziq Abdullah Abdul Aziz- dijangka dibebaskan hari ini.
Haziq sebelum ini mengaku beliau adalah salah seorang pelaku dalam video seks itu, dan mendakwa lelaki bersamanya ialah Azmin.
Azmin sudah menafikan tuduhan itu, menyifatkannya sebagai usaha jahat merosakkan kerjaya politiknya. – 23 Julai, 2019.
Komen