KAJIAN untuk memindahkan lokasi kilang berisiko tinggi di Pasir Gudang, Johor akan disiapkan bulan depan, kata Yeo Bee Yin.
Menteri tenaga, sains, teknologi, alam sekitar dan perubahan iklim itu berkata keputusan mengenainya akan siap dalam tempoh lima minggu lagi.
“Kami akan hantar hasil kajian dan analisis kepada kerajaan Johor. Kami juga akan beri cadangan tentang pemindahan dan tindakan lain yang boleh diambil.
“Terpulang kepada mereka untuk membuat keputusan mengenai pemindahan itu,” katanya selepas pelancaran majlis Bandar Raya Rendah Karbon di Bandar Baru Bangi hari ini.
Jabatan Alam Sekitar Johor (JAS) dalam kenyataan sebelum ini menyebut yang bacaan gas di 14 buah sekolah di Pasir Gudang pada 18 hingga 21 Julai lalu menunjukkan tahap normal.
Bacaan gas diambil di 138 lokasi sekitar daerah itu, termasuk di sekolah dan kawasan perindustrian.
Bulan lepas, lebih 700 orang, kebanyakannya pelajar sekolah dirawat kerana mengalami masalah pernafasan dipercayai berpunca daripada pembebasan sisa kilang kimia berhampiran.
Ia adalah kejadian kedua pencemaran sisa berbahaya di Pasir Gudang.
Mac lalu, lebih 1000 orang menerima rawatan selepas mengalami masalah kesihatan berpunca daripada pembebasan gas berbahaya kerana pembuangan sisa di Sungai Kim Kim, sehingga memaksa semua sekolah di seluruh kawasan itu ditutup beberapa hari.
Yeo menjelaskan kajian itu dibuat oleh pakar Jabatan Kimia, Tanah dan Galian serta Alam Sekitar.
“Buat masa sekarang kami akan terus memantau kawasan. Sehingga kini kami sudah menghantar 70 orang pegawai pelbagai jabatan untuk memeriksa situasi.”
Tambahnya, kementerian sudah menghantar alat pengesan gas untuk memantau kualiti udara di semua lokasi dalam dan luar Pasir Gudang.
“Kami sudah periksa bacaan di luar Pasir Gudang, sekolah dan kawasan lain. Semuanya sama (normal).
“Jadi apa yang kami mahu kata, yang di pihak kami, semua kilang berasaskan kimia sudah diperiksa.”
Yep berkata terdapat lebih 2,000 kilang di Pasir Gudang dan 257 daripadanya adalah kilang kimia.
“Kami sudah memeriksa semua kilang dan menutup 12 buah, tindakan undang-undang juga akan diambil ke atas tiga buah kilang lagi.” – 23 Julai, 2019.
Komen