Britain belum tentukan penglibatan Huawei dalam rangkaian 5G


Britain semalam berkata ia masih belum dapat membuat keputusan apakah syarikat China, Huawei perlu terlibat dalam rangkaian telekomunikasi 5G UK. – Gambar EPA, 23 Julai, 2019.

BRITAIN semalam berkata ia masih belum dapat membuat keputusan apakah syarikat China, Huawei perlu terlibat dalam rangkaian telekomunikasi 5G UK.

Setiausaha Digital, Jeremy Wright di parlimen semalam berkata London masih cuba mendapatkan penjelasan mengenai kesan sekatan Amerika Syarikat (AS) ke atas terhadap Huawei sebelum membuat sebarang keputusan khusus.

“Kerajaan masih belum membuat keputusan apakah perlu Huawei terlibat dalam penyediaan rangkaian 5G,” katanya.

Keputusan sensitif dan dipantau secara dekat oleh AS itu tidak akan dibuat oleh pentadbiran Perdana Menteri Theresa May yang akan menamatkan perkhidmatan esok.

Ia sebaliknya akan ditentukan oleh pengganti May, sama ada bekas datuk bandar London, Boris Johnson atau Setiausaha Luar Britain, Jeremy Hunt.

Perdana menteri Britain yang baru akan menentukan sama ada melarang atau membenarkan Huawei terlibat sepenuhnya dalam rangkaian 5G UK.

Huawei disekat di beberapa negara Barat atas alasan bimbang Beijing akan mengintip komunikasi dan mendapat akses kepada infrastruktur kritikal jika syarikat itu dibenarkan membangun rangkaian 5G.

Huawei bagaimanapun menafikan tuduhan itu. Presiden AS Donald Trump pada Mei memboikot sebarang perdagangan dengan Huawei. – AFP, 23 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen