Pendakwa raya AS tutup kes rogol berkaitan Ronaldo


Cristiano Ronaldo dituduh melakukan serangan seksual di AS sepuluh tahun lalu, dakwaan yang berulang kali dinafikannya. – Gambar EPA, 23 Julai, 2019.

BINTANG Juventus Cristiano Ronaldo tidak akan didakwa atas pertuduhan rogol di Las Vegas yang berlaku sedekad lalu selepas pendakwa raya AS semalam berkata mereka tiada bukti cukup.

Pendakwa raya Nevada berkata mereka tidak dapat mendakwa pemain bola sepak warga Portugal itu kerana “tidak boleh dibuktikan melampaui keraguan munasabah” yang berlaku serangan seksual.

Kathryn Mayorga, seorang bekas model, mendakwa Ronaldo merogolnya di sebuah hotel Las Vegas pada 2009.

Bekas pemain Manchester United dan Real Madrid itu berjaya mencapai penyelesaian kewangan dengan Mayorga setahun selepas dakwaan itu.

Beliau sentiasa menafikan wujudnya serangan seksual, bertegas yang hubungan intim mereka dipersetujui bersama.

Pejabat Pendakwa Raya Daerah Clark County berkata ia menerima laporan daripada Mayorga- dikenali sebagai “V” ketika itu- pada 13 Jun 2009, melaporkan yang beliau jadi mangsa serangan seksual.

Polis tidak dapat melakukan “sebarang penyiasatan bermakna” ketika itu kerana Mayorga enggan menamakan penyerangnya atau tempat kejadian, kata kenyataan pejabat itu.

Kesannya, detektif “tidak berjaya melakukan pencarian dan menemui hasil forensik penting” dan video menunjukkan Ronaldo dan Mayorga bersama-sama juga hilang, tambahnya.

Mayorga menghubungi polis Ogos tahun lepas untuk meminta kes itu kembali dibuka, dan menamakan Ronaldo sebagai penyerangnya.

Kes itu dibuka semula walaupun “tempoh masa terlalu lama berlalu”, kata pendakwa raya.

“Berdasarkan semakan maklumat diberikan ketika itu, dakwaan serangan seksual melibatkan Cristiano Ronaldo tidak dapat dibuktikan melepasi keraguan munasabah,” kata pendakwa raya.

“Kerana itu, tiada pendakwaan akan dilakukan.”

Peguam Mayorga berkata beliau bersetuju mencapai penyelesaian luar mahkamah bagi melindungi identitinya, tetapi mendapat inspirasi untuk bercakap kerana gerakan #MeToo.

Mayorga juga berkata trauma emosi yang dihadapinya ketika itu tidak membolehkannya terlibat dalam rundingan penyelesaian kewangan luar mahkamah itu.

Peguam Ronaldo dan Mayorga tidak menjawab permintaan AFP untuk ulasan keputusan menghentikan siasatan kes itu. – AFP, 23 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen