INDIA hari ini menafikan dakwaan yang Perdana Menteri Narendra Modi meminta Presiden AS Donald Trump untuk menjadi orang tengah penyelesaian konflik Kashmir dengan Pakistan, menekankan tiada keperluan pihak ketiga.
Trump membuat dakwaan itu semalam ketika bercakap dari White House di mana beliau menerima kunjungan Perdana Menteri Pakistan Imran Khan.
Presiden itu berkata ketika pertemuan dua minggu sebelum itu dengan Modi, perdana menteri India itu bertanya, “Awak hendak jadi penghubung atau pendamai?” di Kashmir.
Raveesh Kumar, jurucakap Kementerian Luar India membalas: “Kami melihat kenyataan Presiden Trump kepada media yang beliau bersetuju jadi pendamai, jika diminta India dan Pakistan, tentang isu Kashmir.
“Tiada permohonan sebegitu dibuat perdana menteri kepada presiden AS.”
Kumar menambah: “Sudah jadi pendirian konsisten India yang semua isu berbangkit dengan Pakistan hanya dibincangkan secara dua hala. Semua hubungan dengan Pakistan adalah untuk menamatkan keganasan rentas sempadan.”
India dan Pakistan memisahkan Kashmir, daerah majoriti penganut Islam selepas kemerdekaan pada 1947, tetapi kedua-dua menuntut hak sepenuhnya sekarang.
Pemberontakan di daerah Kashmir belah India sejak tiga dekad lalu menyebabkan 70,000 maut, kebanyakannya orang awam.
India menuduh Pakistan menyokong pemberontak, walaupun Islamabad berkata ia hanya memberikan sokongan moral dan diplomatik kepada perjuangan pembebasan daerah itu.
India dan Pakistan sudah berperang sebanyak dua kali kerana daerah itu, dan perang ketiga hampir tercetus Februari lalu selepas mereka melancarkan serangan udara rentas sempadan, menimbulkan ketegangan terburuk kedua-dua negara pemilik senjata nuklear itu. – AFP, 23 Julai, 2019.
Komen