APPLE sedang mengadakan perbincangan untuk membeli unit cip modem telefon pintar milik Intel, tindakan yang membolehkan pengeluar iPhone itu mengawal komponen utamanya, lapor Wall Street Journal semalam.
Akhbar itu memetik sumber arif tentang perkara itu sebagai berkata yang urus niaga itu meliputi paten dan kakitangan Intel yang bernilai berbilion dolar, walaupun ada kemungkinan ia tidak akan dimeterai.
Apple memulakan pelaburan besar ke atas cip telefonnya untuk meningkatkan prestasi dan tambah baik peranti sekaligus mengurangkan kebergantungan kepada Qualcomm.
Intel awal tahun ini mengumumkan ia tidak akan terlibat dalam persaingan mencipta cip modem untuk telefon pintar bagi digunakan dalam rangkaian 5G.
Intel membuat pengumuman itu sehari selepas Apple dan Qualcomm yang berpengkalan di Selatan California berkata mereka bersetuju “membatalkan semua litigasi” terhadap satu sama lain di seluruh dunia berkaitan soal pembayaran royalti.
Penyelesaian saat-saat akhir itu dicapai sebelum kedua-dua gergasi teknologi itu dijadualkan masuk mahkamah di California.
Selama dua tahun, kedua-dua mereka bertenglikah yang boleh menyebabkan Qualcomm dipaksa membayar berbilion dolar.
Ia berkisar kepada tuduhan yang Qualcomm mengenakan royalti untuk cip patennya, yang membolehkan telefon pintar dihubungkan dengan rangkaian komunikasi.
Apple menuduh Qualcomm, yang merupakan pemilik paten, mengambil kesempatan dengan mengenakan bayaran terlampau tinggi untuk cip dan akses kepada patennya.
Qualcomm menafikan tuduhan itu dan mendakwa Apple menyalahguna kedudukan dan mengambil tindakan undang-undang untuk menurunkan harga.
Beberapa jam selepas penyelesaian diumumkan, Intel berkata mereka menarik diri daripada perniagaan modem telefon 5G, tanpa menyebut adakah ia jadi punca atau kesan daripada perjanjian musuhnya dengan Apple. – AFP, 23 Julai, 2019.
Komen