MOHAMED Azmin Ali memberi tanggapan buruk kepada ahli PKR tentang sikapnya terhadap parti dan kepimpinan, kata beberapa pemimpin akar umbi, selepas tidak hadir ke program pemukiman PKR di Port Dickson hujung minggu lalu.
Azmin sepatutnya menggunakan platform dalam program itu untuk menyampaikan sebarang perkara yang beliau tidak berpuas hati, tetapi beliau gagal berbuat demikian.
Ketua Cabang PKR Tambun Muhamad Arafat Varisai Mahamad berkata ketiadaan Azmin di pemukiman itu tidak memberi kesan kepada parti, sebaliknya kepada diri beliau sendiri.
“Apabila beliau tidak hadir, ia tidak beri kesan kepada Keadilan tetapi kepada Azmin sendiri. Walaupun kita ada masalah dalaman, apabila diadakan sesi temu rapat perlu datang bersama dan bersikap jiwa besar.
“Jika ada kepimpinan yang kurang setuju atau apa-apa perkara, boleh diluahkan. Parti sudah bagi platform terbaik untuk luahkan perasaan tetapi anda tidak hadir.
“Anda akan dilihat sama ada berjiwa besar, tolak ansur atau tidak. Jika anda tiada sifat ini, macam mahu jadi pemimpin?” katanya.
Pemukiman di Port Dickson antara Jumaat dan Ahad lalu bukan disebabkan kemelut dalaman PKR sebaliknya untuk menyemak semula pencapaian dan sumbangan parti selepas setahun Pakatan Harapan mentadbir sebagai kerajaan, kata pemimpin PKR.

The Malaysian Insight difahamkan kebanyakan ucapan pimpinan mengajak parti kembali ke matlamat asal iaitu untuk memperhebat usaha melaksanakan agenda reformasi.
Arafat mengakui mesej ucapan pimpinan dan berpendapat objektif program temu rapat berjaya dicapai.
“Objektif retreat PKR tercapai. Segala peringatan, nasihat dan keluhan daripada pimpinan (parti) kita dengar.
“Masalah yang dihadapi oleh PKR bukan krisis, sebab krisis lebih besar kita pernah hadapi sebelum pilihan raya lepas.
“Masalah ini datang apabila ada pimpinan lupa dasar asal kita, iaitu agenda reformasi… ada yang terlupa. Jadi melalui program temu rapat mereka diingatkan semula dan kembali ke tujuan asal,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau turut menyarankan agar ahli atau pemimpin PKR yang lari daripada agenda reformasi untuk keluar daripada PKR.
Bagi Ketua Pemuda Sabah Raymond Ahuar beliau tidak melihat ketiadaan Azmin di Port Dickson hujung minggu lalu sebagai satu masalah mahupun punca yang boleh menyebabkan parti berpecah.
Jelasnya, mereka yang tidak hadir hanya 20 orang dan jumlah hadirin lebih daripada setengah.

Pemukiman itu sepatutnya dihadiri 140 pemimpin tetapi 20 orang tidak hadir termasuk mereka yang disenaraikan untuk berucap, antaranya Azmin dan Naib Presiden Zuraida Kamaruddin dan Ali Biju.
“Saya rasa tidak terjejas sebab lebih daripada separuh hadir dan 120 yang datang beri sokongan kepada Anwar Ibrahim sebagai Presiden. Tiga hari ini, beberapa cadangan dan idea dikeluarkan dan satu persefahaman dibentuk untuk kukuhkan PKR,” katanya.
Malah beliau menarik perhatian bahawa ada beberapa pemimpin yang menyokong Azmin seperti Naib Presiden Dr Xavier Jayakumar dan Tian Chua yang hadir di Port Dickson.
Raymond merujuk kepada kenyataan bersama 28 pemimpin kanan dan wakil rakyat PKR yang menegur Presiden Anwar Ibrahim supaya tidak membuat kenyataan memecahbelahkan parti.
Sesi temu rapat itu berakhir dengan 120 pemimpin kanan parti menurunkan tanda tangan sebagai bukti sokongan penuh kepada Anwar untuk memimpin parti.
Ketua Wanita Permatang Pauh Norlela Ariffin pula berkata, beberapa pemimpin yang tidak hadir itu bukanlah satu isu.
Jelasnya, objektif program iaitu untuk mengembalikan semangat reformasi tercapai dan mereka yang tidak hadir itu juga telah berjuang membawa agenda tersebut.
“Kita tak boleh lupakan jasa-jasa yang dah berjuang 20 tahun seperti Azmin, Zuraida yang turut berjuang. Walaupun tak datang pada program temu rapat, mereka banyak berjuang untuk parti.
“Kita tak boleh anggap hanya kerana tak datang (dalam program itu) kita lupakan mereka yang sama-sama berjuang sebelum ini,” jelas Adun Penanti itu.

Namun, beliau turut memberi peringatan agar semua ahli dan kepimpinan tidak leka dengan isu dalaman parti semata-mata.
“20 tahun lepas kita diuji dengan kekalahan tetapi kini diuji kemenangan. Jangan ingat bila kita sudah menang (PRU lepas), kita lupa agenda utama kita iaitu reformasi,” jelasnya.
Perbalahan antara Anwar dan timbalannya dilihat semakin kritikal apabila Azmin tidak hadir ketika beliau sepatutnya memberi ucapan timbalan presiden, Sabtu lepas ketika program pemukiman.
Ketika ditanya media tentang hal itu, Anwar berkata beliau sudah menjangkakan Azmin tidak akan hadir tetapi memberi penegasan, beliau akan tetap bekerja bersama timbalannya sebagai satu pasukan.
Pemukiman itu diadakan ketika PKR dilihat dalam krisis selepas Anwar bertelagah secara terbuka dengan Azmin, terkait dengan tuduhan berhubung rakaman seks dua lelaki yang tersebar lebih sebulan lalu.
Azmin menafikan tuduhan selepas bekas ahli PKR, Haziq Abdullah Abdul Aziz menuduh beliau sebagai pasangan intimnya dalam rakaman seks itu.
Azmin menegaskan tuduhan itu berniat jahat untuk menghancurkan masa depan politiknya.
Pemukiman itu dihadiri oleh pimpinan kanan PKR terdiri daripada ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP), wakil rakyat Parlimen dan negeri serta senator. – 23 Julai, 2019.
Komen