Harga ikan dijangka melambung kerana projek PSR


Sheridan Mahavera

Tangkapan nelayan semakin terjejas menyebabkan kekurangan hasil yang membawa kepada kenaikan harga ikan di pasaran.– Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Julai, 2019.

KINI membayar RM14 hingga RM20 untuk sekilogram ikan kembung adalah perkara biasa, namun rakyat Malaysia dijangka akan berdepan kenaikan harga mencecah RM30 sekilogram sebaik sahaja projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pinang bermula, kata nelayan.

Senario ini akan berlaku dalam beberapa tahun akan datang apabila perlombongan pasir di Perak bermula untuk kegunaan projek berkenaan bagi membina tiga pulau buatan manusia.

Kawasan pembiakan ikan di Perak juga akan terjejas kerana perlombongan pasir dijalankan di perairan Manjung, kata Mansor Yusof dari Persatuan Nelayan Perak.

Menurut data Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Perak membekalkan 30%, iaitu pendaratan ikan domestik terbesar negara.

Bukan tangkapan ikan kembung sahaja yang akan berkurangan, malah ikan lain seperti selar, bawal hitam, sardin dan juga spesis lain yang popular dalam kalangan rakyat Malaysia, tambah Mansor.

Apabila bekalan ikan semakin berkurangan dan permintaan kekal tinggi, harga dijangka akan melambung.

“Kini, harga ikan kembung mampu mencecah sehingga RM20 sekilo. Ia boleh mencecah RM30 sekilo sekiranya pendaratannya semakin berkurangan berikutan perlombongan pasir.

“Malah sekarang ini pun pendaratan ikan ini sudah berkurangan,” kata Mansor kepada The Malaysian Insight.

Mansor merupakan antara ratusan nelayan dari utara Perak dan selatan Pulau Pinang yang membuat bantahan terhadap PSR di luar Parlimen bulan lalu.

Tiga pulau buatan manusia, berkeluasan 1,821 hektar itu akan dijual untuk kerajaan negeri Pulau Pinang membiaya PelanInduk Pengangkutan bernilai RM46 bilion.

Projek penambakan mega itu akan menyaksikan impak kepada negara kata kumpulan aktivis Kuasa Perak.

“Kami sangka projek itu hanya akan beri kesan kepada Pulau Pinang dan Perak tetapi kami dapati ia sebenarnya lebih luas, malah ia secara tidak langsung memberi kesan kepada seluruh negara, kata Presiden Kuasa Perak, Hafizuddin Nasaruddin.

Kumpulan aktivis alam sekitar membantah PSR dan juga pelan induk pengangkutan yang merangkumi proses penarahan bukit, pembinaan lebuh raya dan terowong bawah tanah yang menghubungkan Pulau Pinang dan tanah besar.

Pulau Pinang sudah berdepan masalah banjir kilat dan tanah runtuh berikutan pembinaan lebuh raya, kata mereka.

Lebih 189 juta meter kubik pasir diperlukan dan rancangan pelombong untuk melombongnya dari empat kawasan kira-kira 20 batu nautika dari perairan Manjung. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Julai, 2019.

Melemaskan hidupan laut

Butiran mengenai perlombongan pasir untuk pembinaan tiga buah pulau itu didedahkan dalam laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) projek berkenaan yang baru dikeluarkan, kata Hafizuddin.

Menurut EIA itu, lebih 189 juta meter kubik pasir diperlukan dan rancangan pelombong untuk melombongnya dari empat kawasan kira-kira 20 batu nautika dari perairan Manjung.

Mansor dari persatuan nelayan berkata, perlombongan pasir akan memusnahkan kawasan menangkap ikan kerana arus air akan melemaskan hidupan laut.

“Ia juga akan menghakis pesisir pantai yang akan memusnahkan hutan paya bakau yang penting untuk pembiakan ikan,” tambah Mansor.

Persatuan itu menganggarkan sumber pencarian kira-kira 6,000 nelayan di Perak akan terjejas kerana kekurangan hasil tangkapan.

Menurut kajian LKIM pada 2017, Perak menyumbangkan 256,622 daripada 851,217 metrik tan atau 305 daripada semua ikan yang didaratkan di Malaysia.

Sabah merupakan penyumbang kedua terbesar iaitu 138,650 metrik tan atau 16% daripada jumlah keseluruhan.

Nilai tangkapan ikan di Perak adalah RM627 juta atau 25% daripada RM2.52 bilion ikan yang ditangkap tahun itu dan Sabah pula sebanya RM407 juta atau 16%.

Menurut tinjauan Malaysia Insight baru-baru ini, ikan dijual di pasar basah dan pasar raya terpilih di lembah Klang, dari jenis popular seperti ikan kembung dan cencaru dijual antara RM14 hingga RM20 sekilogram dan masing-masing antara RM5 hingga RM12 setiap kg.

Peniaga ikan turut memberi amaran bahawa harga makanan laut yang tinggi kini menjadi normal kerana penurunan hasil tangkapan tempatan dan kenaikan ikan diimport. Penyusutan nilai ringgit menjadikan import dari Indonesia dan Thailand jauh lebih mahal.

“Oleh kerana penurunan hasill tangkapan di Perak, Malaysia perlu bergantung lebih banyak pada ikan yang diimport,” kata Mansor. – 23 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen