ANGGOTA bomba Portugis yakin mereka berjaya mengawal kebakaran hutan di wilayah tengah negara berkenaan yang turut mengorbankan banyak nyawa pada 2017, namun memberi amaran angin kencang berkemungkinan menyebabkan kebakaran baru.
Kira-kira 1,200 anggota bomba dikerahkan ke wilayah Castelo Branco, kira-kira 200 kilometer dari ibu negara Lisbon, menurut pasukan pertahanan awam.
Kebakaran hutan berkenaan telah dikawal 90%, namun angin dijangka bertiup kencang pada petang yang mampu membawa ancaman tercetus kebakaran baharu dan menyebabkan ia merebak, kata jurucakap pasukan itu, Pedro Nunes pada sidang media di pekan Serta.
“Keadaan ini sangat kompleks untuk memadam kebakaran. Kita akan berhadapan hari yang sukar. Angin merupakan pemangkin utama kebakaran ini,” katanya dan menambah, kebanyakan kebakaran masih aktif di kawasan yang sukar dicapai.
Asap tebal dari kebakaran berkenaan boleh dilihat dari ruang angkasa yang mana imej satelit itu disiarkan di stesen televisyen Portugal.
Kira-kira 30 orang, termasuk lapan anggota bomba mengalami kecederaan, kebanyakannya kerana terhidu asap daripada kebakaran yang tercetus pada Sabtu lalu ketika cuaca panas.
Presiden Marcelo Rebelo de Sousa pada Ahad melawat orang awam yang cedera parah dan dipindahkan dengan helikopter ke Hospital Lisbon.
Beliau turut menyatakan solidaritinya dengan ratusan anggota bomba yang bertungkus lumus memadamkan kebakaran besar itu.
Sementara itu, pihak polis menahan seorang lelaki berusia 55 tahun di Castelo Branco kerana disyaki memulakan kebakaran itu.
Bagaimanapun siasatan lanjut masih diteruskan bagi mencari punca sebenar kebakaran berkenaan. – AFP, 22 Julai, 2019.
Komen