MALAYSIA akan memfokuskan kepada ketibaan pelancong China kerana mereka akan menjadi salah satu pasaran terbesar negara, kata Dr Mahathir Mohamad selepas melancarkan logo kempen Melawat Malaysia 2020 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur hari ini.
“Sebaik sahaja kita selesaikan masalah visa, saya pasti kita akan mendapat jutaan pelancong dari China,” kata perdana menteri dan menambah kerajaan menyasarkan ketibaan lebih 3 juta pelancong dari China.
Pelancong China menyumbang 2.94 juta daripada 25.8 juta ketibaan tahun lepas, dengan warga Singapura menduduki tangga teratas iaitu 10.6 juta ketibaan.
Putrajaya menyasarkan 30 juta pelancong untuk tahun 2020.
Sementara itu, pemimpin berusia 94 tahun itu turut mengulas berhubung bantahan yang diadakan setiap kali Malaysia mahu menganjurkan konsert meibatkan artis dari luar negara.
“Mereka yang membantah hanya minoriti. Kita perlu memenuhi keperluan majorriti, tetapi mereka juga perlu suara mereka didengar.
“Kumpulan aktivis yang membuat bantahan ini cuba untuk tunjuk mereka majoriti di Malaysia sedangkan tidak,” kata Dr Mahathir.
Antara artis antarabangsa yang pernah mendapat bantahan ketika mengumumkan rancangan untuk mengadakan konsert di Malaysia termasuklah Beyonce, Miley Cyrus, Selena Gomez and Elton John.
Pada 2018, Malaysia menarik ketibaan 25.8 juta pelancong dengan pendapatan sektor pelancongan RM84.1 bilion. Malaysia turut berada pada kedudukan ke 21 dalam Laporan Barometer Organisasi Pelancongan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu 2019.
Pada 2017, industri pelancongan menyumbang sebanyak 14.9% kepada ekonomi negara berbanding 10.4% pada 2005.
Jumlah pekerjaan dalam industri pelancongan turut meningkat kepada 3.4 juta pada 2017 berbanding 1.5 juta pada 2005, menjadikan 23.5% jumlah keseluruhan tenaga kerja. – 22 Julai, 2019.
Komen