ROSMAH Mansor melahirkan kekecewaan terhadap segelintir pihak yang menganggap suaminya, Perdana Menteri Najib Razak berada di bawah telunjuknya hanya kerana memberi sokongan kepada idea beliau.
Beliau yang merupakan Yang Dipertua Badan dan Amal Kebajikan Isteri-isteri Menteri (Bakti) itu berkata sokongan itu juga tidak bermaksud Najib takut kepadanya.
“Sebagai isteri pemimpin, walaupun kita buat kerja dengan baik tapi selalunya disalah tafsir. Kita sebagai orang perempuan, ada hak kita.
“Kita sering menyuarakan isu taska. Saya selalu suarakan pada dia (Najib) untuk itu (penyediaan taska). Saya sendiri dahulupun pernah bekerja. Saya faham (situasi ibu).
“Tetapi bila saya bercakap dengan suami saya dan beliau bersetuju (isu taska), orang kata Najib dah dengar cakap Rosmah,” katanya selepas mendengar Ceramah Maal Hijrah anjuran Bakti “Ke manakah Arah Wanita’ di Bangunan Siti Hasmah, Kuala Lumpur.
Rosmah merujuk kepada perjuangan beliau dan antara idea yang pernah dipanjangkan kepada Najib mengenai penyediaan taska di tempat kerja bagi memudahkan golongan wanita.
Justeru, beliau menyeru agar masyarakat tidak menerima bulat-bulat setiap perkara yang disebarkan di media sosial kerana ia tidak semestinya tepat.
“Orang kata Najib takut betul dengan Rosmah. Padahal kalau saya pun hendak bercakap, saya kena tengok dulu mood dia. Saya kena tengok dia sibuk ke tidak.
“Datuk Najib tak takut pada saya. Apa saya ajukan kepada beliau, praktikal dan ia pilihan. Jadi, kalau kita kata apa-apa, bukan suami takut pada kita tapi kita buat untuk rakyat untuk hidup lebih baik,” kata penaung Permata itu.
Beliau pada masa sama menyeru golongan majikan terutamanya pihak swasta menyediakan lebih banyak pusat taska demi memudahkan pekerja wanita.
“Pihak swasta jangan terlalu fikirkan keuntungan tapi fikirkan juga kebajikan. Insha-Allah kalau ada taska di tempat kerja, ibu akan lebih fokus,” katanya lagi.
Ceramah yang dihadiri ahli Bakti dan Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan awam Malaysia (Puspanita) juga menampilkan pendakwah terkenal Asmak Husin yang menceritakan mengenai keperibadian tokoh-tokoh wanita Islam. – 3 Oktober, 2017.
Komen
Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Roger 5201 · Ulasan