WARTAWAN televisyen Perancis yang membuat liputan protes terhadap lombong arang batu milik India yang baru diluluskan ditahan polis Australia hari ini kerana dituduh menceroboh.
Pembinaan projek Adani berhampiran Great Barrier Reef telah menjadi perdebatan sengit selama sedekad apabila aktivis alam sekitar mengingatkan bahawa bahan api fosil boleh merosakkan iklim.
Dua wartawan Perancis Hugo Clement dan tiga krew produksi antara tujuh orang yang ditangkap dalam demonstrasi itu di sebuah kawasan pemunggahan arang untuk lombang di Queensland tengah.
Krew berkenaan dituduh menceroboh kereta api, kata polis.
“Kami hanya membuat penggambaran tindakan orang-orang berkenaan dan kami tidak tahu mengapa polis menangkap kami.
“Kami bukan sebahagian daripada mereka, kami bukan aktivis, kami wartawan,” katanya kepada penyiar kebangsaan ABC.
Menurut laporan ABC, di bawah syarat jaminan yang ketat, Clement dilarang masuk dalam jarak 20 kilometer dari tapak lombong.
Krew produksi berkenaan diperintahkan untuk hadir di mahkamah tempatan di Bowen pada 3 September, kata polis.
Pihak berkuasa telah meluluskan pembinaan lombong Adani yang terbuka, yang dijangka menghasilkan 27 juta tan arang setahun pada bulan lalu. – AFP, 22 Julai, 2019
Komen