TENTERA Thailand sedang menyiasat bagaimana suspek pemberontak di selatan negara itu tidak sedarkan diri beberapa jam selepas dibawa ke kem tentera.
Selatan Thailand dicengkam pemberontakan yang menyebabkan hampir 7,000 orang terbunuh sejak 15 tahun lalu, dan tuduhan penderaan terhadap negeri Thai yang majoriti penduduknya beragama Buddha kian meningkat.
Konflik itu kurang mendapat liputan antarabangsa walaupun kebanyakan kematian yang berlaku melibatkan orang awam yang beragama Islam dan Buddha.
Pada Sabtu, pihak berkuasa menahan suspek pemberontak Abdulah Esormusor, 34 dan membawanya ke pusat tahanan Inkayuth di wilayah Pattani.
Dia kemudiannya ditemui tidak sedarkan diri kurang 12 jam selepas disoal siasat dan dibawa ke hospital dan mengalami bengkak pada otak, kata jurucakap tentera Pramote Prom-In dalam satu kenyataan.
Pihak tentera kini menjalankan siastaan ke atas insiden berkenaan dan sekiranya mendapati ianya “kesilapan pihak berkuasa, mereka yang bertanggungjawab akan berdepan hukuman keras”, katanya sebelum menambah, setakat ini tiada bukti pihak berkuasa yang menjalankan soal siasat menyebabkan kecederaan itu.
Kem Inkayuth merupakan pusat tahanan tentera Thailand terbesar di wilayah selatanm yang mana suspek pemberontak dibawa ke sana untuk disoal siasat dan ditahan di bawah akta darurat.
Pemberontak melancarkan serangan bom dan tembakan hampir setiap hari di wilayah berkenaan untuk mendapatkan autonomi dari Thailand.
Namun kumpulan hak asasi manusia turut menuduh pihak berkuasa mendera dan melakukan pembunuhan tidak adil. – AFP, 22 Julai, 2019
Komen