19 terbunuh dalam serangan udara Rusia di Syria 


Damsyik dan sekutunya Rusia mempertingkatkan serangan udara terhadap Idlib sejak April lalu. – Gambar EPA, 22 Julai, 2019

16 orang awam antara 19 orang yang terbunuh dalam serangan udara yang dilancarkan Rusia di sebuah pasar di barat laut negara itu pada Isnin dalam siri keganasan terbaharu bagi memusnahkan benteng pemberontak.

Sekurang-kurangnya 45 orang lagi dilaporkan cedera dalam serangan yang mengenai sebuah pasar sayur di pekan Maaret al-Numan, di wilayah Idlib, kata Pemerhati Hak Asasi Manusia.

Angka kematian dijangka terus meningkat berikutan ramai yang mengalami cedera parah dan berada dalam keadaan kritikal manakala segelintir mangsa lagi masih terperangkap di bawah runtuhan, menurut pemerhati yang berpangkalan di Britain itu.

Ketua badan pemerhati berkenaan, Rami Abdelrahman berkata, 16 yang terbunuh merupakan orang awam manakala tiga lagi mayat masih belum dienal pasti identitinya.

Serangan terbaharu itu dilancarkan beberapa hari selepas serangan udara oleh Damsyik dan sekutunya Rusia di Idlib yang menyebabkan 18 orang terbunuh termasuk seorang wartawan muda.

Anas al-Dyab iaitu jurugambar dan juruvideo berusia awal 20-an, merupakan ahli kumpulan penyelamat yang turut menyumbang kepada AFP.

Beliau terbunuh dalam serangan udara Rusia di Khan Sheikhun pada Ahad, kata pasukan penyelamat.

Damsyik dan sekutunya Rusia mempertingkatkan serangan udara terhadap Idlib sejak April lalu. – AFP, 22 Julai, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen