Agensi kemanusiaan Turki agih makanan di Yaman


Yaman dilanda keganasan dan huru-hara sejak 2014, ketika pemberontak Houthi menguasai kebanyakan negeri, termasuk ibu kota Sanaa. – Gambar EPA, 22 Julai, 2019.

SEBUAH agensi bantuan kemanusiaan Turki mengagihkan kira-kira 1,000 bungkusan makanan di wilayah Lahij selatan Yaman, lapor agensi berita Anadolu.

Sumbangan itu dihulurkan Pihak Berkuasa Pengurusan Kecemasan dan Bencana (AFAD) kepada penghuni kem Kharaz. 

Wakil AFAD Yaman Mustafa Ayaz berkata sumbangan itu merupakan sebahagian projek bantuan Turki untuk mengedarkan lebih 25,000 pakej makanan di lapan bandar di Yaman. 

Yaman dilanda keganasan dan huru-hara sejak 2014, ketika pemberontak Houthi menguasai kebanyakan negeri, termasuk ibu kota Sanaa.

Krisis semakin memuncak pada 2015 apabila sebuah gabungan ketenteraan diketuai Saudi melancarkan kempen serangan udara menyasarkan wilayah dikuasai Houthi.

Sejak itu, puluhan ribu rakyat Yaman termasuk orang awam dipercayai terbunuh manakala 14 juta lagi di ambang kebuluran, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Data PBB menunjukkan Yaman diancam krisis kemanusiaan terburuk di dunia, dengan lebih 10 juta orang kebuluran manakala lebih 22 juta lagi penduduk amat memerlukan bantuan serta perlindungan kemanusiaan. – Bernama, 22 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen