UNSUR sabotaj Sungai Selangor mungkin angkara pemancing yang sering memancing ikan di kawasan itu, kata ketua polis Selangor Noor Azam Jamaluddin.
Beliau berkata syarikat Two-B Machineries Sdn Bhd di bawah Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) sudah membuat laporan polis pada 21 Julai lalu di balai polis Bestari Jaya berhubung perkara itu.
“Kita sudah menjalankan siasatan dan mendapati klip hos dua tong diesel dibuka.
“Kira-kira 100 liter diesel tumpah (ke dalam sungai).
“Pengadu sebelum ini berkata sebelum kejadian terdapat dua atau tiga pemancing di lokasi tersebut.
“Mereka enggan meninggalkan kawasan itu walaupun sudah diarahkan pekerja. Jadi besar kemungkinan mereka (pemancing) melakukan sabotaj,” katanya ketika ditemui pemberita di Loji Rawatan Air Fasa 2 Sungai Selangor.

Terdahulu, KSSB berkata pihaknya mengesan sumber pencemaran yang menyebabkan penutupan empat loji rawatan air semalam.
Penutupan loji itu menyebabkan lebih sejuta penduduk di Lembah Klang terjejas akibat gangguan bekalan air.
KSSB berkata pihaknya mengesan tumpahan diesel dekat Kolam Hang Tuah di Sungai Selangor pada 21 Julai kira-kira pukul 6.15 petang. – 22 Julai, 2019.
MENYUSUL
Komen