NEW Zealand mengumumkan pelan baharu untuk mengetatkan pemilikan senjata susulan insiden serangan pengganas berkulit putih yang menyebabkan 51 orang terbunuh.
Perdana Menteri Jacinda Ardern berkata pelan itu merupakan pusingan kedua untuk mengetatkan undang-undang berkaitan senjata api.
Katanya peraturan itu menetapkan syarat ketat untuk pemilikan senjata api bagi mengelakkan senjata tersebut jatuh ke tangan orang yang salah.
Ardern berkata insiden keganasan pada 15 Mac lalu, menyebabkan kerajaan perlu bertindak tegas dalam isu pemilikan senjata di New Zealand.
Kerajaan pada awalnya mahu mengharamkan penggunakan senjata semi automatik selepas senjata itu digunakan dalam serangan pengganas itu.
Menteri Polis Stuart Nash berkata perubahan terbaharu itu perlu dilaksanakan dengan tegas.
“Mengikut undang-undang sedia ada, kita tidak tahu jumlah sebenar senjata yang dimiliki oleh penduduk, siapa pemiliknya, siapa penjual dan pembelinya,” katanya.
Peraturan pendaftaran itu dijangka mengambil masa lima tahun untuk selesai bagi mengumpulkan bukti 1.2 juta senjata di New Zealand.
Undang-undang itu juga melarang rakyat asing membeli senjata selepas penyerang dalam insiden keganasan itu merupakan rakyat Australia, Brenton Tarrant. – AFP, 22 Julai, 2019.
Komen