AMBANK mengambil insiatif untuk menghubungi Low Taek Jho apabila pengeluaran lebih had berlaku ke atas akaun semasa Najib Razak, kata Joanna Yu.
Bekas pengurus perhubungan bank itu berkata, langkah itu diambil bagi mengelakkan cek bekas perdana menteri itu ditendang.
“Apabila tidak cukup wang, kita tidak fikir langkah memulangkan semula cek Perdana Menteri Malaysia (Najib) sebagai tindakan yang baik,” kata Yu ketika sesi soal balas bersama pendakwa raya, V. Sithambaram.
“Jika anda mengeluarkan cek, anda perlu mempunyai wang yang cukup. Mungkin akan terlepas pandang, tetapi kita tidak mahu masalah itu timbul apabila melibatkan perdana menteri Malaysia tidak cukup duit.”
Terdahulu, Yu memberitahu mahkamah bahawa beliau menghubungi Low- dikenali ramai dengan Jho Low- sekiranya gagal menghubungi CEO SRC International Nik Faisal Ariff Kamil, yang dilantik Najib sebagai pemegang mandat akaun peribadinya dan akaun SRC International.
Pemegang mandat diberikan kuasa untuk mengesahkan arahan bertulis, tetapi tidak berkuasa menandatangani cek atau membuat pengeluaran.
Beliau berkata kebiasaannya, cek akan dipulangkan jika terdapat kekurangan wang dalam akaun.
“Saya tidak mempunyai akses secara terus kepada akaun Datuk Seri Najib. Saya mendapat arahan bahawa saya perlu memeriksanya dengan Nik Faisal, jadi saya hanya menurut surat mandat itu,” katanya.
“Kami tidak menguruskan akaun semasa dan jika berlaku lebihan pengeluaran, kita tidak akan terlibat.
“Tetapi disebabkan kami diarah untuk menguruskan akaun semasa Najib, bank mahu kami memberi perhatian terhadapnya.” – 22 Julai, 2019.
Berita penuh di sini.
Komen