KEMARAHAN memuncak di Hong Kong hari ini susulan serangan ganas terhadap penunjuk perasaan prodemokrasi oleh sekumpulan lelaki dipercayai ahli kongsi gelap sehingga mencederakan berpuluh orang di saat kemelut politik semakin membelenggu hab kewangan antarabangsa itu.
Rusuhan di Hong Kong lewat malam semalam bertukar ganas apabila sekumpulan lelaki berpakaian putih dan memakai penutup muka serta bersenjata kayu pemukul dan besi menyerang penunjuk perasaan anti kerajaan yang dalam perjalanan pulang dari satu himpunan besar hari yang sama.
Rakaman langsung yang disiarkan menerusi Facebook menunjukkan sekumpulan lelaki berkenaan memukul orang ramai dan wartawan yang berada di stesen kereta api bawah tanah Yuen Long.
Pihak berkuasa hospital memaklumkan seramai 45 orang cedera susulan serangan terbabit di mana seorang daripadanya berada dalam keadaan kritikal manakala lima lagi cedera parah.
Sementara itu pengkritik menuduh polis mengambil masa lebih sejam untuk tiba ke stesen berkenaan walaupun menerima banyak panggilan kecemasan berhubung serangan berkenaan selain gagal menahan kumpulan penyerang yang berkumpul di sekitar kawasan stesen sehingga pagi tadi.
Sekumpulan lelaki berbaju warna putih juga dilihat meninggalkan tempat kejadian menaiki kereta bernombor plat China.
Penggubal undang-undang prodemokrasi Lam Cheuk-ting yang juga cedera dalam serangan mengkritik tindakan polis dan menuduh ahli kongsi gelap bertanggungjawab melakukan serangan terbabit.
“Perbuatan ganas mereka melanggar dasar masyarakat bertamadun Hong Kong,” katanya.
Sementara itu seorang aktivis prodemokrasi terkenal Nathan Law menulis di Twitter: “Apabila ahli kongsi gelap China menyerang penduduk, pihak penguatkuasa undang-undang tidak kelihatan. Kerajaan patut rasa malu”.
Kekecohan terbaharu itu menimbulkan kebimbangan bahawa ahli kongsi gelap kini mula mencampuri konflik politik. – AFP, 22 Julai, 2019.
Komen