Kabinet belum bincang usul Taman Rimba Kiara, kata Hannah Yeoh


Ragananthini Vethasalam

Yeoh berkata beliau sudah menulis kepada ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Latheefa Koya pada 17 Jun untuk mendapatkan perkembangan tentang isu itu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 22 Julai, 2019.

KABINET masih belum membincangkan usul pembangunan semula rumah panjang Taman Rimba Kiara, kata Hannah Yeoh.

“Sehingga hari ini, Kabinet belum membincangkan isu Taman Rimba Kiara,” kata Ahli Parlimen Segambut itu.

Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad baru-baru ini berkata enam kementerian terlibat sudah menerima usul berkenaan perkara itu dan sedang mengkajinya.

Usul Khalid dan Yeoh akan dibentangkan kepada Kabinet untuk memutuskan tentang projek itu yang ditolak kalangan penduduk di kawasan tersebut.

Kabinet juga mempunyai pilihan untuk menghentikan projek itu jika tidak mencapai persetujuan dalam mana-mana usul tersebut.

Sementara itu, Yeoh berkata beliau sudah menulis kepada ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Latheefa Koya pada 17 Jun untuk mendapatkan perkembangan tentang isu itu.

Timbalan Menteri Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat itu juga memohon untuk mengadakan temu janji dengan Latheefa.

Bagaimanapun beliau belum mendapat maklum balas daripada Latheefa.

“Kes ini…beberapa laporan sudah dibuat sebelum Pakatan Harapan mengambil alih,” katanya.

Aktivis C4, Lalitha Kunaratnam (dua dari kiri), jurucakap penduduk TTDI, Leon Koay (tengah) dan Hannah Yeoh pada sidang media mengenai isu projek Taman Rimba Kiara.  – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 22 Julai, 2019.

Sementara itu, Persatuan Penduduk Taman Tun Dr Ismail (TTDI) membuat laporan baharu kepada SPRM berhubung kes pada 16 Julai berdasarkan siasatan Centre to Combat Corruption and Cronyism (C4).
 
“Harapan saya SPRM akan meneliti semua laporan yang dibuat sebelum ini dan laporan yang dibuat oleh persatuan penduduk pada minggu lepas,” kata Yeoh.
 
Laporan terbaharu itu melibatkan elemen konflik berkepentingan membabitkan beas Menteri Wilayah Persekutuan Tengku Adnan Tengku Mansor dalam kes itu selain kaitan beliau dengan pemaju projek Taman Rimba Kiara dan projek  Pavillion Genting Highlands
 
Beberapa laporan SPRM berhubung kes itu sudah dibuat iaitu pada Mei 2017 oleh penduduk TTDI disusuli Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng pada November tahun sama.

Yeoh turut membuat satu lagi laporan pada Mei tahun lalu. – 22 Julai, 2019.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen