SEJURUS sebelum krisis kewangan Asia pada 1990-an, Nazirul (bukan nama sebenar) bekerja di bahagian pertukaran wang asing di bank tempatan terkenal.
Kehidupannya bersama isteri dan dua anaknya yang masih kecil (tujuh dan 10 tahun) ketika itu agak baik, tidak mewah, tetapi dia mampu memberi kesenangan dan berbelanja tanpa perlu berkira-kira.
Semuanya berubah pada 1997 apabila Nazirul ditakdirkan diserang strok, jatuh secara tiba-tiba pada tengah malam di rumahnya selepas pulang dari kerja.
Dia dimasukkan ke hospital selama dua bulan dan lumpuh sebelah kiri tubuhnya, menyebabkan kesukaran bergerak dan keseimbangan badan.
Beliau kembali bekerja tetapi gaji diterima hanya cukup-cukup untuk menampung makan minum sekeluarga dengan berbelanja berjimat cermat, berikutan dia tidak lagi boleh bekerja lebih masa dan memperoleh elaun bekerja syif.
Tetapi masalah terbesar ialah: Dia tidak ada insurans. Nazirul terpaksa menjual kereta Honda Civic miliknya. Dia terpaksa menjual rumah baharu mereka walaupun sudah membuat separuh bayaran, kerana tidak mampu membayar ansuran bulanan kedua-duanya.
Nasib Nazirul itu sesuatu yang sangat difahami eksekutif kanan di sebuah syarikat insurans antarabangsa.
Ketua Pegawai Eksekutif Prudential Assurance Malaysia Bhd (PAMB) Gan Leong Hin berkata setakat ini hanya 56% rakyat Malaysia mempunyai insurans hayat dan daripada jumlah itu, kebanyakannya tidak cukup perlindungan.
Gan berkata orang ramai sering kali mempunyai tanggapan yang salah mengenai ejen insurans dan mereka tidak faham yang insurans hayat dijual untuk melindungi masa depan mereka, apatah lagi ejen menjual faedah yang tidak dapat dilihat.
Laporan Persatuan Insurans Hayat Malaysia (Liam) pada tahun lepas menyatakan 90% daripada rakyat Malaysia yang mempunyai insurans hayat tidak cukup dilindungi, yang menyebabkan ia tidak memberi perlindungan sewajarnya kepada ahli keluarga.
Pada 2015, kira-kira 50% (sekitar 12.5 juta) daripada populasi di Malaysia mempunyai perlindungan insurans hayat tetapi 90% daripada mereka membeli insurans yang tidak cukup perlindungannya.
Ini bermakna perlindungan insurans mereka kemungkinan hanya meliputi satu atau dua kali ganda daripada pendapatan tahunan mereka.
(Sebagai perbandingan, perbelanjaan insurans hayat per kapita di Malaysia ialah RM850 atau AS$330 pada 2012. Angkat itu lebih rendah berbanding purata dunia iaitu AS$373 dan lebih rendah daripada negara Asia lain seperti Singapura [AS$2,472], Hong Kong [AS$4,025], Korea Selatan [US$1,578] dan Jepun [AS$4,143].)
Liam berkata industri insurans hayat menyarankan seseorang itu terutamanya pencari nafkah mempunyai insurans hayat yang bersamaan dengan 10 kali ganda daripada pendapatan tahunan mereka.
Ejen insurans Zurich Takaful Malaysia Berhad, Mohamed Hafizullah Zainal berkata pelanggan perlu faham yang insurans hayat bukan fokus kepada sakit seseorang saja tetapi juga jika individu ditimpa musibah dan berkemungkinan hilang keupayaan untuk bekerja.
“Jadi apabila hilang upaya kekal, maka tiada syarikat yang akan mengambil seseorang itu bekerja. Namun jika mereka mempunyai insurans hayat, mereka akan mendapat pampasan 10 kali ganda daripada gaji tahunan mereka.
“Ini bermakna mereka dapat bertahan selama sekurang-kurangnya 10 tahun untuk menyelesaikan hutang dan komitmen hidup, nafkah dan sebagainya melalui jumlah yang sama dengan pendapatan bulanan mereka sebelum hilang pekerjaan,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Hafiz berkata masalah yang dihadapi rakyat Malaysia kini adalah mereka tidak membeli perlindungan yang bersesuaian dengan pendapatan tahunan mereka.
“Perlindungan perlu lebih tinggi daripada pendapatan tahunan mereka untuk membolehkan mereka bertahan. Kenapa perlu lebih tinggi? Kerana mereka ada komitmen dan hutang perlu dibayar,” katanya.
Katanya, insurans hayat juga dapat mengelakkan seseorang itu atau pencari nafkah hidup “meminta-minta” atau merayu di media sosial apabila mengalami kekangan wang yang kritikal untuk bertahan dan meneruskan hidup seharian. – 15 April, 2017.
Komen