KUMPULAN masyarakat Orang Asli Temiar di Perak menuntut kerajaan mengubah semula status agama mereka dalam kad pengenalan kerana mendakwa didaftarkan sebagai Islam tanpa kerelaan.
Wakil Penduduk Kampung Sungai Papan di Gerik, Ajang Aluej berkata masyarakat Orang Asli diberi kad pengenalan dengan status Islam walaupun tidak pernah memeluk agama Islam.
“Kita tidak pernah mengucap, tak pernah ada saksi ustaz kata Islam, tahu-tahu saja dalam kad pengenalan sudah tulis kami Islam,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Katanya proses pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) itu juga menukar nama mereka dengan sewenang-wenang semasa pendaftaran sehingga menujukkan seolah-olah mereka memeluk Islam.
“Mereka sendiri yang letak nama. Bila mereka buat begitu seolah-olah kita tidak ada hak ke atas diri kita sendiri.
“Ia melanggar hak asasi kami sebagai manusia, sebab mereka pulak yang bertindak seperti tuhan hendak tentukan siapa diri kita,” katanya.
Jelasnya, ada masyarakat Orang Asli agamanya didaftar bukan Islam tapi nama didaftarkan dengan bin dan binti seolah-olah mereka beragama Islam.

Kesemua 86 orang penduduk di Kampung Sungai Papan mengalami masalah sama berhubung status agama dalam MyKad mereka, katanya.
Penduduk berkenaan dibantu oleh Jabatan Kemajuan Orang Aski (Jakoa) sewaktu mendapatkan kad pengenalan mereka, katanya.
Perkara itu diakui wakil penduduk Kampung Ong Gelmol, Jamal Andi yang turut didaftarkan dengan nama “bin Andi” dalam kad pengenalannya.
Isterinya pula didaftarkan sebagai penganut Islam walau tidak pernah berbuat demikian, yang memberi lebih banyak masalah apabila mereka mendaftarkan kelahiran anak, katanya.
“Isteri saya diletak (beragama) Islam. Isunya apabila saya nak daftar anak, anak saya mereka (JPN) tak mahu daftar nama Jamal sebagai nama bapa sebalinya mereka daftarkan nama Abdullah,” katanya.
Jamal berkata apabila dia mempersoalkan perkara itu, pegawai JPN menjawab ia didaftarkan sedemikian kerana keterangan agama dalam kad pengenalan isterinya adalah Islam.
“Kerana itu saya tidak faham, anak saya ini jadi anak Abdullah bukan anak Jamal.
“Kalau sekolah, untuk apa-apa program lepas ini jika anak saya nak terima anugerah pelajar cemerlang atau apa, nanti nama bapa Abdullah yang dipanggil bukan saya “ katanya.

Mengulas perkara itu, wakil penduduk Ajang menjelaskan Orang Asal mempersoalkan perkara itu keana tindakan mendaftar mereka sebagai Islam tanpa kerelaan seperti itu sebagai tindakan tidak adil.
“Kita tidak pernah kata Islam itu tidak betul. Kita masyarakat Orang Asli sangat menghormati agama Islam.
“Namun bagi kami biarlah ia dilakukan dengan kerelaan, bukan paksaan, maksudnya kita sendiri yang nak bukan orang lain yang tentukan,” katanya.
Penduduk Kampung Sungai Papan merupakan antara lima komuniti Orang Asli yang menghantar memorandum ke Parlimen Selasa lepas berhubung isu status agama dalam kad pengenalan mereka.
Sementara itu Pengarah Jakoa Perak Khairul Nizam berkata dakwaan mengenai status agama itu akan dibawa ke ibu pejabat bagi tindakan susulan.
Khairul berkata isu tersebut melibatkan banyak pihak maka perbincangan perlu diadakan terlebih dahulu.
“Untuk isu agama kita perlu ada mesyuarat dan buat laporan di ibu pejabat Jakoa terlebih dahulu.
“Sebab ini isu agama, isu yang sensitif jadi memang kena ada perbincangan selanjutnya, lagi pun ia bukan saja membabitkan pihak Jakoa tapi banyak pihak,” katanya. – 22 Julai, 2019.
Komen