Kesetiaan ada had, kata Azmin


Diyana Ibrahim

Azmin Ali berkata beliau akan terus memperjuangkan keadilan untuk rakyat Malaysia. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 21 Julai, 2019.

TIMBALAN Presiden Azmin Ali membayangkan individu yang mendalangi fitnah melalui terhadapnya adalah orang yang pernah rapat dan ditaatinya.

Bagaimanapun kesetiaan itu kini ada hadnya kerana beliau akan bangkit menentang fitnah dan ketidakadilan ke atasnya, kata menteri hal ehwal ekonomi itu.

“Saya bertekad dan berjanji apa pun serangan yang dilemparkan, saya akan tetap bangkit untuk melawan,” katanya disambut tepukan lebih 1,000 orang yang hadir ke acaranya malam ini.

Malah beliau akan tetap melawan fitnah tersebut walau tanpa sebarang penyokong.

“Biarkan saya sebatang kara, biarpun berdepan dengan manusia yang pernah saya kenali sebelum ini, tapi kesetiaan kita ada batasnya.

“Saya setia kepada kebenaran dan keadilan dan saya akan tetap perjuangkan keadilan bukan untuk keluarga saya tapi saya mahu rakyat Malaysia dapat pembelaan sewajarnya,” katanya. 

Beliau berucap di majlis doa selamat di kediaman menteri besar Selangor malam ini, selepas memencilkan diri daripada pemukiman pemimpin PKR sepanjang hujung minggu ini.

Dalam pemukiman itu, 120 daripada keseluruhan 140 pemimpin tinggi PKR antara lain menyatakan sokongan kepada Anwar sebagai perdana menteri yang akan menggantikan Dr Mahathir Mohamad. 

Bercakap kepada pemberita selepas itu, Azmin berkata beliau tidak menghadiri program Temurapat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR malam ini kerana berada di luar negara.

“Saya tak hadir kerana di luar negara atas urusan rasmi. Saya baru saja pulang petang ini,” katanya.

Beliau juga menggesa agar isu rakaman video seks itu tidak dipanjangkan lagi selepas polis menyatakan hasil siasatan tidak dapat mengaitkan rakaman itu dengan dirinya. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 21 Julai, 2019.

Beliau turut menjelaskan ucapannya terdahulu tidak merujuk kepada mana-mana individu.

“Saya tidak merujuk kepada sesiapa. Ini adalah mesej yang saya kongsi kepada rakan-rakan dalam parti dan kepada umum.

“Kita perlu setia kepada perjuangn dan bukan kepada individu. Ini penting dalam menghadapi cabaran yang dihadapi negara.

Beliau juga menggesa agar isu rakaman video seks itu tidak dipanjangkan lagi selepas polis menyatakan hasil siasatan tidak dapat mengaitkan rakaman itu dengan dirinya.

“Kenapa perlu teroka lebih lagi? Itu mesej saya kepada media. Hentikan politik kotor. Rakyat sudah penat.

“Saya tidak mahu hentikan laporan, saya cuma kata sebagai pemimpin kita perlu memfokuskan kepada ekonomi.

“Biar pihak berkuasa tentukan tindakan seterusnya. Biarkan mereka selesaikan keseluruhan proses,” katanya lagi.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa kes itu sememangnya didalangi pihak tersebut.

“Sejak hari pertama lagi saya tahu ada elemen dari dalam,” katanya.

Beliau juga berkata akan dapat terus bekerjasama dengan presiden parti Anwar Ibrahim.

“Yes (boleh berkerjasama) beliau presiden dan saya timbalannya kita dah berkerjasama selama bertahun-tahun,” katanya.

Selain penyokong, majlis malam tadi turut dihadiri Naib Presiden PKR Tian Chua, Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin, Ahli Parlimen Bandar Tun Razak Kamaruddin Jaafar dan Timbalan Speaker Dewan Rakyat Rashid Hasnon

Tuduhan skandal video seks itu dibuat melalui rakaman video seks yang tersebar sejak Jun lalu.

Bekas pemimpin Pemuda PKR Haziq Abdullah Abdul Aziz mendakwa dirinya sebagai pelaku dalam aksi tersebut dan Azmin merupakan pasangannya dalam rakaman itu.

Tuduhan itu dinafikan Azmin yang mendakwa ia merupakan usaha untuk memusnahkan kerjaya politiknya.

Haziq merupakan antara individu yang kini ditahan polis, termasuk setiausaha politik Anwar, Farshash Wafa Salvador berhubung penyebaran video aksi berkenaan. – 21 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen