AHLI Parlimen Umno Khairy Jamaluddin mempertahankan kritikannya ke atas pelantikan Najib Razak sebagai ketua penasihat Barisan Nasional (BN) sebagai kebebasan berbeza pendapat.
Katanya perbezaan pendapat itu penting supaya Umno tidak mengulangi kesilapan yang menyebabkan parti kehilangan kuasa dalam pilihan raya umum lalu.
Jelasnya, ahli dan pemimpin Umno sebelum ini silap langkah kerana mengunci mulut walaupun mengetahui terdapat permasalahan rakyat yang tidak dapat dijelaskan di bawah.
“Inilah yang berlaku dahulu apabila kita langsung tidak meraikan kepelbagaian pendapat. Kita tutup mulut kita, tidak berani cakap perkara benar.
“Kita tahu ada masalah tetapi kita buat-buat macam tiada masalah. Kita tahu rakyat di bawah sedang resah, ada macam-macam isu yang tidak dapat dijelaskan tetapi kita biarkan,” katanya.
Pemimpin berkenaan hanya memberi laporan baik sahaja yang menjadi antara punca BN tewas kerana gagal memahami senario politik sebenar di bawah.
“Ada satu negeri yang banyak kali kalah beri laporan kepada Najib Razak, pada 9 Mei selepas tutup pusat pengundian pada 6.30 petang, BN menang dua pertiga. Akhirnya menang empat kerusi sahaja.
“Kalau tidak tidak bercerita pasal sejarah, kita akan mengulangi sejarah tersebut. Jangan lagi kita jadi Yes Man atau Yes Women,” ujarnya.

Justeru, beliau meminta supaya ahli dan pemimpin yang berbeza pandangan tidak dilihat sebagai pengkhiatan hanya kerana tidak sealiran pemikiran dengan pucuk pimpinan.
Jelasnya, kepelbagaian pandangan pemimpin dalam parti tidak bermaksud wujud persengketaan tetapi hanyalah sebahagian daripada proses pemulihan parti.
“Saya mungkin ada pandangan berbeza daripada pucuk pimpinan parti tetapi jangan ragu-ragu dengan kesetiaan saya.
“Sekarang ini kita hendak perbetulkan parti termasuklah membuat teguran. Jangan kita anggap mereka yang ada pendapat berlainan ini sebagai pengkhianat kepada parti.
“Umno kena belajar daripada kesilapan,” kata bekas ketua Pemuda Umno itu lagi.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Kota Melaka, hari ini.
Seorang lagi yang turut mempertikaikan pelantikan Najib mengetuai majlis penasihat BN itu adalah Ahli Parlimen Padang Rengas Mohamed Nazri Abdul Aziz.
Beliau menyifatkannya sebagai satu kerja gila kerana Najib bertanggungjawab memimpin BN sewaktu parti itu kalah pilihan raya dan kehilangan kuasa di Putrajaya tahun lalu.
Mereka turut berbeza pandangan dengan pemimpin Umno lain dalam isu pelawaan Dr Mahathir Mohamad yang meminta orang Melayu bersatu di bawah parti Bersatu. – 21 Julai, 2019.
Komen