Pemukiman PKR bukan kerana video seks, kata pemimpin parti


Nabihah Hamid Zaim Ibrahim

Pemimpin PKR berharap kedua-duanya akan dapat menerima saranan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad untuk menyelesaikan pertelingkahan yang sudahpun berlarutan beberapa bulan itu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 20 Julai, 2019.

PEMUKIMAN PKR di Port Dickson hujung minggu ini bukan kerana konflik dalaman parti susulan video seks yang dikaitkan timbalan presiden Mohamed Azmin Ali, kata peserta program sejak Jumaat yang berakhir hari ini.

Pemukiman itu sebaliknya sudah dirancang sejak tiga bulan lalu untuk menyemak semula pencapaian dan sumbangan parti selepas setahun Pakatan Harapan mentadbir sebagai kerajaan, kata pemimpin PKR.

The Malaysian Insight difahamkan kebanyakan ucapan pimpinan mengajak parti kembali ke matlamat asal iaitu untuk memperhebatkan usaha melaksanakan agenda reformasi

Seorang wakil rakyat negeri yang menyertai program itu berkata, mesej utama pimpinan ialah pentingnya PKR kembali ke acuan asal semangat reformasi yang tercetus dua dekad lalu.

“Ingat balik dari mana parti ini datang. Semangat reformasi itu jangan ditinggalkan. 

“Apa yang penting, parti perlu terus maju dan ingat matlamat kita,” katanya yang enggan dikenali kepada The Malaysian Insight.

Seorang lagi peserta berkata beberapa ucapan dalam permukiman itu mengingatkan tentang peranan penting yang ada pada PKR selepas jadi sebahagian daripada kerajaan.

“Ada yang bimbang PKR mempunyai ramai menteri tetapi pembangunan reformasi nampak tidak seiring, meskipun ada kuasa untuk membawa perubahan,” kata pemimpin kanan PKR yang enggan dinamakan.

Sementara itu, seorang lagi peserta memberitahu mesej yang ditegaskan oleh pimpinan ialah pentingnya ahli parti mengukuhkan disiplin dalam sebuah organisasi.

“Parti perlu ada disiplin yang kuat dan tegas. Kita tidak perlu ada perkiraan politik berdasarkan kuasa dan hanya menyokong berdasarkan kuasa. 

Pemukiman PKR itu diadakan ketika PKR dilihat dalam krisis selepas Presiden Anwar Ibrahim bertelagah secara terbuka dengan Azmin, terkait dengan tuduhan berhubung rakaman seks dua lelaki yang tersebar lebih sebulan lalu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 20 Julai, 2019.

“Sokongan terhadap parti perlu kukuh, selepas sekarang parti berkuasa untuk melaksanakan agenda reformasi,” kata peserta yang merupakan salah seorang bekas pimpinan sayap pemuda, Angkatan Muda Keadilan (AMK).

Pemukiman PKR itu diadakan ketika PKR dilihat dalam krisis selepas Presiden Anwar Ibrahim bertelagah secara terbuka dengan Azmin, terkait dengan tuduhan berhubung rakaman seks dua lelaki yang tersebar lebih sebulan lalu.

Azmin menafikan tuduhan selepas bekas ahli PKR, Haziq Abdullah Abdul Aziz menuduh beliau sebagai pasangan intimnya dalam rakaman seks itu. Azmin menegaskan tuduhan itu berniat jahat untuk menghancurkan masa depan politiknya.

Pada penutup pemukiman, 120 pemimpin yang hadir menandatangani resolusi yang memberi sokongan penuh kepada Anwar untuk memimpin parti.

“Kami bertekad memperkukuhkan Keadilan (PKR) sebagai parti tonggak nasional pelbagai kaum berdasarkan prinsip perlembagaan dan memastikan manifesto Pakatan Harapan terlaksana,” kata resolusi itu.

Resolusi itu juga menyebut sepanjang hujung minggu ini, mereka sudah berbincang secara “jujur, terbuka dan telah mencapai resolusi bersama” untuk parti bergerak maju.

“Program ini menjadi platform pimpinan bermuhasabah, menggilap kembali idealisme perjuangan, mengukuhkan disiplin dan perpaduan parti, menilai kembali rekod perkhidmatan selama setahun sebagai kerajaan persekutuan dan bagaimana Pakatan Harapan bergerak ke depan,” kata resolusi itu.

Pemukiman itu dihadiri oleh pimpinan kanan PKR terdiri daripada ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP), wakil rakyat Parlimen dan negeri serta senator.

Azmin bagaimanapun tidak hadir, begitu juga beberapa pemimpin kanan yang dianggap dekat dengannya antaranya naib presiden Zuraida Kamaruddin dan Ali Biji, serta pengerusi PKR Sarawak, Baru Bian. – 21 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen