UMNO tidak boleh terlalu yakin akan berjaya mengambil alih semula kerajaan selepas memenangi tiga pilihan pilihan raya kecil (PRK) kata ahli Parlimen parti itu, Khairy Jamaluddin.
Khairy berkata keputusan dalam tiga PRK tersebut tidak boleh dijadikan kayu ukur kerana pilihan raya umum ke-15 (PRU15) masih jauh.
Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad pula tentunya akan mengumumkan pelbagai bantuan untuk mendapatkan sokongan pengundi apabila tiba waktunya, katanya lagi.
“Walaupun kita menang dalam tiga PRK sebelum ini, PRU15 jauh lagi. Sekarang ini mungkin beliau tidak tunaikan janji, dia simpan duit peruntukan.
“Datang dekat PRU15 nanti, dia keluarkan macam-macam bantuan untuk rakyat. Itu yang dia buat masa jadi presiden Umno,” kata ahli Parlimen Rembau itu.
Kejayaan dalam tiga PRK itu dicapai selepas Umno dan PAS mula membentuk kerjasama tahun lalu.
Calon BN berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Cameron Highlands pada Januari dan DUN Rantau pada April lalu dan seterusnya merampas DUN Semenyih pada Februari.
Khairy bagaimanapun mengakui bahawa perpaduan kedua-dua parti itu memberi ancaman besar kepada Pakatan Harapan kerana perkara itu menjadi sasaran serangan Dr Mahathir.
“Ini yang mungkin menyebabkan perdana menteri sebut mengenai perpaduan Melayu. Dr Mahathr tahu kedudukan Melayu dalam kerajaan pada hari ini sangat lemah,” katanya.
Oleh itu Umno sepatutnya pulih dan berubah segera supaya kemenangan akan datang disebabkan sokongan tulen rakyat dan bukannya datang daripada kebencian rakyat terhadap Pakatan Harapan.
“Kemenangan disebabkan kebencian ini tidak akan tahan lama. Akan jadi putaran kebencian. Dalam Islam kifarah, bukan Islam hukum karma.
“Kita hendak menang bukan hanya rakyat marah kepada PH tetapi rakyat nampak Umno sudah berubah dan Umno sudah kembali ke landasan yang benar,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Kota Melaka, hari ini. – 21 Julai, 2019.
Umno jangan ghairah dengan kesilapan Pakatan, kata KJ
Komen