Penduduk bunuh 4 sekeluarga di India angkara sihir


Lebih 2,000 orang, kebanyakannya wanita, dibunuh di India angkara sihir antara 2000 dan 2012. – Gambar AFP, 21 Julai, 2019.

EMPAT ahli sebuah keluarga termasuk dua wanita dibunuh oleh penduduk kampung di tengah India kerana didakwa mengamalkan sihir, kata pihak berkuasa.

Keempat-empat mangsa dipercayai berusia 60-an mati dibunuh selepas diserang penduduk yang bersenjatakan kayu besi di luar rumah mereka semalam di negeri Jharkhand.

Pegawai polis daerah Gumla, Shashi Ranjan berkata kejadian itu ada kaitan dengan amalan sihir yang dilakukan keluarga tersebut kepada penduduk tempatan.

Susulan insiden itu, anggota keselamatan tambahan dikerah ke kampung Siskari  untuk mengelakkan kejadian yang lebih buruk.

Seorang pegawai daerah berkata tiada penahanan dibuat setakat ini memandangkan siasatan masih dijalankan.

Pakar berkata kepercayaan dalam ilmu sihir masih berleluasa di kawasan terpencil di India.

Pada masa dulu, golongan wanita sering dikaitkan dengan sihir dan menjadi sasaran penduduk tempatan.

Ramai pengamal ilmu hitam menggunakan sihir untuk mendapatkan hak tanah dan harta.

Lebih 2,000 orang, kebanyakannya wanita, dibunuh di India angkara sihir antara 2000 dan 2012.

Beberapa negeri termasuk Jharkland, memperkenalkan undang-undang khas bagi menghalang tindakan jenayah dilakukan terhadap penduduk yang didakwa mengamalkan sihir. – AFP,  21 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen