JABATAN Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Perak memberi jaminan untuk meminta kerajaan menghentikan pemberian ubat dan suntikan pil perancang keluarga kepada suku Temiar, kata wakil penduduk.
Wakil Penduduk Kg Sg Papan Anjang Aleuj berkata perkara tersebut dimaklumkan dalam satu pertemuan bersama Jakoa negeri pada minggu lalu.
“Masa perjumpaan itu memang kaum ibu masyarakat Temiar beritahu mereka tidak mahu diberi suntikan dan pil perancang keluarga lagi.
“Jadi Jakoa cakap mereka akan bawakan hal ini kepada Kementerian Kesihatan,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Anjang berkata satu pertemuan juga akan diaturkan Jakoa bersama wakil daripada Jabatan Kesihatan dan penduduk suku Temiar berhubung isu tersebut.
“Cuma tarikhnya masih belum ditetapkan, tapi akan ada perjumpaan untuk kita bincang isu ini,” katanya.
Pengarah Jakoa Perak Kamarul Nizam pula berkata mereka tidak dapat menyekat program memberi pil dan ubat perancang keluarga kepada suku Temiar.
“Cuma apa yang kita boleh beritahu (kementerian), kalau (Orang Asli) tak nak, Kementerian Kesihatan tidak boleh paksa,” katanya.
Ditanya apakah pendirian Jakoa berhubung isu tersebut, Kamarul berkata pihaknya akan menunggu sehingga hasil siasatan daripada jawatankuasa kesihatan.
“Apa pun kita tunggu jawatankuasa ini keluarkan hasil siasatan baru kita boleh putuskan,” katanya.

The Malaysian Insight melaporkan kalangan wanita Orang Asli Temiar itu trauma selepas mengalami pelbagai masalah kesihatan kerana menerima suntikan ubat perancang keluarga.
Mereka mendakwa Jabatan Kesihatan memaksa mereka mengambil ubat dan suntikan dengan alasan masyarakat Orang Asli itu banyak melahirkan anak.
Kumpulan itu juga mendakwa tidak diberikan penjelasan mengenai kesan sampingan ubat tersebut.
Wanita berkenaan antara lain mengadu kerap pening kepala, selera makan bertambah, kejang kaki biarpun tidak lagi mengambil ubat tersebut.
Ada juga wanita yang mendakwa melahirkan anak cacat anggota selepas berhenti mengambil ubat berkenaan.
Satu memorandum membantah pemberian ubat perancang keluarga dihantar ke Parlimen oleh komuniti tersebut pada awal Julai lalu.
Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad menolak dakwaan tersebut sebagai tuduhan tidak munasabah dan menjelaskan suntikan itu bertujuan untuk melindungi wanita tersebut daripada kehamilan yang membahayakan kesihatan dan nyawa.
Kenyataan tersebut menerima kritikan daripada pelbagai pihak dan beliau seterusnya mengumumkan satu jawatankuasa siasatan dalaman ditubuhkan unutk menyiasat dakwaan itu.
Laporan berkenaan bakal dikeluarkan selewat-lewatnya pada 26 Julai. – 22 Julai, 2019.
Komen