6 terbunuh dalam serangan bunuh diri


SEORANG pengebom berani mati wanita membunuh enam orang termasuk dua anggota polis di wilayah barat laut Pakistan.  

Serangan berlaku di pintu masuk sebuah hospital di Kampung Kotlan Saidan di pinggir bandar barat laut Dera Ismail Khan.

Ketua Polis Daerah Salim Riaz memberitahu AFP bahawa polis membantu mengalihkan mayat dua rakan mereka yang telah ditembak mati oleh militan pada Sabtu ketika pengembom bunuh diri itu datang menyerang.

“Pengebom wanita berusia sekitar 28 tahun itu dilihat berjalan kaki dan melakukan sendiri serangan sehingga membunuh dua anggota polis dan empat orang awam termasuk mencederakan 13 yang lain,” katanya.

Mereka yang cedera termasuk lapan anggota polis dan lima orang awam.

Seorang lagi pegawai polis tempatan Malik Habib mengesahkan serangan dan angka kecederaan.

Jurucakap Tehreek-e-Taliban Muhammad Khurasani mengaku bertanggungjawab atas serangan itu dalam satu kenyataan yang dihantar kepada media tempatan.

Pakistan dilihat telah meningkatkan keselamatan dalam beberapa tahun kebelakangan ini tetapi serangan tahap rendah masih dijalankan dengan kekerapan yang teruk.

Serangan seringkali menyasarkan pasukan keselamatan di barat laut dan wilayah suku yang bersempadan Afghanistan. – AFP, 21 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen