Dari pelarian Syria ke atlet renang


Kisah Yusra Mardini pernah mendapat perhatian ramai apabila bot yang dinaikinya bersama 20 pelarian lain tenggelam ketika dalam perjalanan ke Greece. – Gambar EPA, 21 Julai, 2019

PELARIAN Syria Yusra Mardini yang hampir tenggelam di laut sewaktu melarikan diri dari negaranya yang dilanda perang empat tahun lalu hanya mencatat rekod masa 1 minit 8.79 saat dalam acara 100 meter kuak kupu-kupu di kejohanan renang dunia di Korea Selatan hari ini.

Mardini yang berusia 21 tahun mewakili pasukan atlet bebas FINA.

“Sebenarnya saya tak gembira.

“Saya ada masalah dengan bahu tetapi saya kembali jalani latihan. Saya masih ada acara bebas 100 meter dan tak sabar nak lakukannya,” katanya.

Masa Mardini 12 saat lebih perlahan daripada juara bertahan Sarah Sjostrom.

Kisah Mardini pernah mendapat perhatian ramai apabila bot yang dinaikinya bersama 20 pelarian lain tenggelam ketika dalam perjalanan ke Greece.

Sebagai satu-satunya orang yang boleh berenang, Mardini dan kakaknya Sarah melompat ke dalam air untuk menolak serta menarik bot yang tenggelam selama lebih tiga jam sebelum tiba ke pantai.

“Saya tiba di Greece hanya dengan seluar jeans dan baju T, malah kasut saya juga hilang,” katanya.

Mardini menjadi terkenal apabila bertanding di Olimpik Rio setahun kemudian di bawah bendera pelarian.

“Pada awalnya saya enggan berada dalam pasukan pelarian kerana saya takut orang fikir saya dapat peluang berkenaan kerana kisah hidup saya,” katanya yang kini tinggal bersama keluarganya di Berlin.

Tambahnya, dia menyedari ada peluang besar untuk mewakili pasukan pelarian jadi dia mengambil peluang yang ada dan tidak pernah menyesal.

“Rio amat mengagumkan, saya gembira melihat reaksi orang ramai. Kini saya mewakili berjuta-juta orang yang kehilangan tempat tinggal di seluruh dunia dan ia benar-benar buat saya bangga,” katanya.

Katanya, kehidupannya kini lebih jauh dari di Syria.

“Di sana serangan roket selalu menggegarkan kolam tempat saya berlatih di Damsyik.

“Ada serangan bom yang kadang-kadang menghancurkan tingkap di sekeliling kolam.

“Kami takut sepanjang masa,” katanya yang mewaikili Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan kisah hidupnya bakal difilemkan di Hollywood. – AFP, 21 Julai, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen