PEMUKIMAN hujung minggu PKR di Port Dickson berakhir dengan 120 pemimpin kanan parti termasuk wakil rakyat parlimen dan negeri serta senator memberi sokongan penuh kepada Anwar Ibrahim untuk memimpin parti.
Mereka mahu Anwar memimpin PKR untuk jadi tonggak Pakatan Harapan selain bertekad memastikan janji pilihan raya terlaksana.
“Kami bertekad memperkukuhkan Keadilan (PKR) sebagai parti tonggak nasional pelbagai kaum berdasarkan prinsip perlembagaan dan memastikan manifesto Pakatan Harapan terlaksana.
“Kami dengan ini memberikan sokongan sepenuhnya kepada Presiden KEADILAN Dato’ Seri Anwar Ibrahim untuk memacu dan memimpin KEADILAN menjadi tonggak Pakatan Harapan, selaras dengan semua peruntukan sebagaimana terkandung di dalam perlembagaan parti,” kata mereka dalam resolusi berkenaan.
Pemukiman itu sepatutnya dihadiri 140 pemimpin namun beberapa orang langsung tidak muncul termasuk mereka yang disenaraikan untuk berucap, antaranya timbalan presiden Mohamed Azmin Ali serta naib presiden Zuraida Kamaruddin dan Ali Biju.
Ketua Wanita Haniza Talha dan Pengerusi PKR Sarawak Baru Bian juga tidak hadir.
Ditanya adakah 20 pemimpin yang tidak menandatangani resolusi itu tidak menyokong kepimpinannya, Anwar meminta media untuk tidak membuat sebarang andaian.
“Beri ruang kepada mereka untuk baca dulu (resolusi) sama ada setuju atau tidak.
“Saya tidak fikir ada yang boleh nak pertikai (sebab) semangat majoriti besar yang ada,” katanya.
Resolusi Port Dickson dikeluarkan ketika dua kumpulan dalam PKR dilihat bertembung susulan penyebaran rakaman seks dua lelaki yang dikaitkan dengan Azmin.
Azmin menafikan tuduhan skandal seks itu dan menyifatkannya perancangan jahat untuk memusnahkan masa depan politiknya.
Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador minggu lalu mengesahkan rakaman seks yang tersebar sejak 11 Jun lalu adalah tulen namun identiti pelakunya tidak dapat disahkan seperti didakwa.
Siasatan polis setakat ini mendapati penyebaran rakaman seks itu bermotifkan politik dan didalangi pemimpin sebuah parti politik, kata Hamid.
Seorang ahli PKR Haziq Abdullah Abdul Aziz membuat pengakuan beliaulah lelaki dalam rakaman seks itu dan mendakwa Azmin pasangan intimnya. Beliau juga mendakwa mereka malah sudah berhubungan intim sejak 2016.
Haziq ditahan reman sehingga Selasa ini, bersama Pengerusi PKR Perak Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, yang juga setiausaha politik kepada Anwar. – 21 Julai, 2019
Komen