TONY Fernandes menyimpan impian memiliki syarikat tambang murah kerana pengalaman bersama ibunya. Dua peristiwa masa kecil mengajarnya: “Alangkah baiknya kalau ada penerbangan tambang murah di Malaysia.”
Kejadian pertama pada 1977 ketika masih kanak-kanak dan belajar di Kolej Epsom di England.
“Saya bersekolah di England. Ayah hantar ke London ketika berusia 12 tahun. Suatu hari saya ke lapangan terbang dan terus menghubungi ibu di Malaysia.
“Ketika itu tidak ada telefon bimbit. Saya gunakan telefon awam dan bertanya pada ibu untuk balik ke Malaysia semasa cuti penggal. Ibu menjawab tidak boleh kerana tiket penerbangan terlalu mahal.”
Ketika itu Tony berfikir: suatu hari nanti, dia perlu memiliki syarikat penerbangan sendiri.
Selain itu, semasa kecil Tony sering menemani ibunya yang berniaga Tupperware ke merata tempat. Pengalaman terbang ke sana-sini bersama ibunya membuatkan Tony berfikir: perlu wujud syarikat tambang murah.
Ini bagi memastikan peniaga seperti ibunya memiliki peluang mengurangkan kos penerbangan, sesuai dengan saiz keuntungan yang kecil.
Setelah dewasa dan kembali ke Malaysia pada usia 27 tahun, Tony menjadi pengarah urusan yang termuda di Warner Music (Malaysia) Sdn Bhd. Antara 1992 sehingga 2001, Tony aktif dalam industri muzik.
Cuma, mentaliti migrasi telah mengubah haluan hidup Tony. Dunia muzik memberikan dirinya pengalaman yang luas dalam strategi perniagaan. Tony genius dalam bidang pemasaran dan strategi penjenamaan.
Pada 2001, Tony meninggalkan Warner Music dan memulakan bisnes Air Asia dengan risiko cukup besar. Selain mengambil alih syarikat yang dibebani hutang RM40 juta, Tony tidak gentar memulakan perniagaan ketika negara berdepan krisis kemelesetan ekonomi.
Mentaliti berani dan keyakinan pada perubahan, membuatkan Tony sanggup menggadai rumahnya bagi memulakan bisnes Air Asia dengan modal tunai RM1 juta.
Itu kisah Tony. Kaitannya dengan topik digital hanya satu sahaja. Tony menjadikan Air Asia syarikat tambang murah dengan mendigitalkan semua proses pembelian tiket, pendaftaran masuk serta servis tempahan bagasi.
Kini, Tony bukan saja taikun penerbangan. Malah, dalam dua tahun mutakhir ini, perniagaannya beralih pantas ke bidang perkhidmatan aplikasi digital.
Walaupun Air Asia kekal mapan dan diiktiraf jenama penerbangan tambang murah nombor satu dunia, Tony memilih bermigrasi. Tony sedar, perniagaan menyediakan aplikasi servis digital satu penerokaan baharu yang mesti disertainya.
Servis digital model Air Asia kalau mahu terus kekal relevan, mesti dikembangkan sebagai pemacu utama perkhidmatan digitalisasi.
Kisah Sabri Suby dan bisnes digital dalam garaj
Sama seperti lelaki terkaya dunia dan pemilik Amazon, Jeff Bezos yang memulakan perniagaan digital dari dalam garaj pada 1994, Sabri Suby memilih konsep garaj dan internet sebagai aset memulakan bisnes.
Bezos memulakan perniagaan digital dengan mengasaskan Amazon.com dari dalam garaj. Selepas 25 tahun, Amazon kini bernilai RM670 bilion.
Pada 1994, ketika demam dotcom melanda dunia, Bezos memahami konsep realiti bisnes digital. Tidak perlu pejabat besar, dekorasi mewah dan pekerja. Amazon diasaskan sebagai pusat perniagaan online dengan keutamaan pada aplikasi digital.
Selepas dua dekad era gemilang Bezos dan Amazon, sejarah berulang lagi. Kemunculan anak muda Australia, Sabri Suby sekali lagi merintis jalan sama. Lima tahun lalu, tidak siapa pun mengenali jenama King Kong.
Sabri kelahiran Sydney memulakan bisnes pada 2014 dengan menyediakan platform urusniaga pemasaran digital khusus buat peniaga Perusahaan Kecil Sederhana (PKS).
Jenama King Kong tidak dilancarkan secara gah. Bisnes digital Sabri hanya memerlukan garaj kecil, laptop dan internet. Selebihnya, idea kreatif untuk membantu usahawan PKS Australia mencipta potensi pemasaran melalui kaedah online.
Sabri muncul dengan teori pemasaran Godfather. Iaitu mengajar usahawan PKS mencipta penawaran servis yang tidak mungkin ditolak pembeli.
Antaranya, pelanggan boleh menikmati produk selama enam bulan secara percuma. Pelanggan hanya perlu membayar setelah berpuas hati selepas tempoh percubaan.
Teori Godfather dalam model King Kong bukan penipuan. Ini trend ciptaan Sabri dalam membina jenama berasaskan reputasi. Kaedah Godfather hanya akan disertai usahawan yang memiliki produk berkualiti.
King Kong mencipta jenama sendiri. Iaitu, pelanggan tidak dipacu iklan dan promosi melulu. Tempoh enam bulan percubaan percuma membuatkan pembeli yakin pada kualiti produk dalam King Kong.
King King mengatasi trauma kebanyakkan pembeli online yang kini mulai curiga dengan kualiti pembelian secara maya.
Banyak kes penipuan berlaku apabila produk tidak setara dengan janji promosi online. Pelanggan mula mencari platform digital yang boleh diyakini dan ada keberanian untuk menawarkan komitmen yang tidak menipu pelanggan.
Teori Godfather Sabri dan platform King Kong mengalih perhatian pengguna. Ketika penipuan iklan maya mula mencipta trauma dalam bisnes digital - Sabri menawarkan khidmat memulihkan keyakinan pengguna.
Selepas empat tahun, King Kong diiktiraf sebagai jenama digital paling pesat berkembang di Australia. Malah, syarikat dalam garaj yang bermula dengan bermodalkan laptop dan internet itu, kini bernilai RM30 juta.
Potensi King Kong menjadi syarikat bernilai RM500 juta mampu dicapai dalam dua atau tiga tahun lagi. Realitinya, Sabri menguruskan transaksi jual beli bernilai RM1.6 bilion. King Kong menawarkan 120 jenis produk jualan.
Kisah Tony, Bezos dan Sabri ialah realiti mentaliti. Tiga contoh peneroka digital ini, satu rujukan bagi ribuan syarikat dan jutaan pekerja yang masih terperangkap dalam krisis enggan bermigrasi.
Usahawan PKS masih membebankan diri dengan mendesak kerajaan menyediakan pinjaman besar bagi memiliki premis dan dekorasi mewah sebagai penjenamaan permulaan bisnes.
Ini mentaliti warisan kuno yang tidak menyedari bahawa akses digital sudah mengubah semua kepercayaan karut itu.
Bagi syarikat gergasi pula, mimpi buruknya lebih teruk. Wujudnya kepercayaan bahawa kemuncak era perniagaan tradisional akan kembali lagi, hanyalah delusi palsu. Ini penipuan ‘mimpi ciptaan syaitan’ yang paling teruk.
Seorang peniaga runcit masih membawa kertas kerjanya ke bank dan berusaha membina kabel politik untuk memudahkan pinjaman. Impiannya mudah; dia ingin menjadikan rangkaian runcitnya setara Walmart.
Padahal, peruncit ini tidak sedar, Walmart yang ditubuhkan pada 1962 di Texas, Amerika Syarikat bukan lagi francais runcit gaya abad ke 20. Walmart kini berubah menjadi pasaraya digital.
Apa digitalnya? Walmart mendigitalkan semua akses penstokan barangan jualannya bagi rujukan pembekal.
Apa itu penstokan digital? Tahukah anda setiap kilogram barangan yang dibeli di Walmart, pembekalnya akan terus mendapat maklumat?
Pembekal tahu lebih awal bila stok harus ditambah tanpa perlu diberitahu. Malah, pembekal tahu sama ada produknya laris atau tidak laku. Akses ini boleh dirujuk secara digital.
Ini menjadikan bisnes Walmart tidak ubah seperti premis meletakkan produk pembekal. Pemantau stok jualan antara Walmart dan pembekal kini berkomunikasi secara digital minit ke minit.
Selamat tinggal premis jualan
Seorang pereka fesyen bermentaliti fizikal masih percaya pada mitos butiknya perlu ada di Pavilion atau KLCC sebagai simbol reputasi perrniagaan.
Ini sangat ironi. Pereka fesyen ini lupa, keluasan terhad premis fizikal serta beban sewaan ribuan ringgit per kaki persegi tidak mampu memaparkan semua jenis fesyen ciptaannya.
Sedangkan seorang pereka fesyen sambilan di Instagram boleh memuat naik koleksinya tanpa had. Malah, berpeluang menguji trend sambutan secara digital hanya dengan melihat respon likes dan komen komuniti maya.
Kaedah premis maya di platform digital lebih memudahkan. Tanpa kos sewaan, tanpa kos melantik agen kajian design dan tanpa kos menghasilkan pakaian yang belum tentu terjual, premis maya lebih fleksibel. Instagram membolehkan semua demand bisnes dilakukan secara percuma.
Secara set minda, inilah mentaliti baru dalam keunikan migrasi digital.
Di negara ini, banyak syarikat gergasi dalam perniagaan tradisional masih enggan bermigrasi. Ketika servis fizikal dan analog sudah dianggap kuno, ramai masih berharap, era gemilang konvesional akan kembali memuncak seperti tiga puluh tahun lalu.
Gergasi begini sedang menuju mati! – 21 Julai, 2019
*Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.
Komen