Lebih 1,000 anggota bomba dikerah kawal kebakaran hutan Portugal


Anggota bomba dikerahkan untuk mengawal kebakaran di kawasan hutan di pergunungan wilayah Castelo Branco. – Gambar EPA, 21 Julai, 2019

LEBIH seribu orang anggota bomba dikerah untuk mengawal kebakaran hutan di tengah Portugal, yang memaksa penduduk berpindah.

Kawasan terbabit pernah mencatatkan banyak kematian dalam kebakaran hutan pada 2017.

Pasukan bomba dikerahkan untuk mengawal kebakaran di kawasan hutan di pergunungan wilayah Castelo Branco, iaitu kira-kira 200 kilometer dari Lisbon, menurut laan web Pertahanan Awam Portugal.

20 helikopter dan pesawat turut terlibat dalam operasi itu yang menyasarkan untuk memadam kebakaran sebelum waktu malam berikutan kesukaran untuk melakukan penerbangan pada waktu itu.

Orang awam yang mengalami kecederaan serius akibat kebarakan itu turut dipindahkan ke Lisbon menggunakan helikopter, kata ketua pertahanan awam wilayah itu, Luis Belo Costa.

Empat anggota bomba turut diaporkan cedera, yang mana tiga daripadanya mengalami kecederaan selepas jentera bomba yang mereka naiki bertembung dengan satu lagi jentera lain.

Pihak tentera dalam satu kenyataan berkata, 20 anggota serta jentera turut dikerahkan ke lokasi untuk membuka laluan bagi memudahkan jentera bomba ke kawasan kebakaran.

Beberapa lebuh raya utama di negara itu turut ditutup dan penduduk di beberapa buah kampung turut dipindahkan, kata pertahanan awam.

Belo Costa berkata, beliau berharap kebakaran di tiga lokasi itu dapat dikawal menjelang awal pagi Ahad.

Sementara itu, Presiden Marcelo Rebelo de Sousa menyatakan solidaritinya terhadap anggota bomba yang bertungkus lumus memadamkan kebakaran itu.

Portugal masih lagi terkesan dengan kematian mangsa dalam kebakaran yang tercetus pada 2017. – AFP, 21 Julai, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen