PEMBALAK dekat Hutan Simpan Air Chepam di Gerik, Perak pagi ini sekali lagi cuba memusnahkan sekatan yang dibina oleh masyarakat Orang Asli Temiar untuk melindungi tanah adat mereka di Kampung Sungai Papan daripada dicerobohi.
Wakil penduduk Orang Asli, Anjang Aleuj mendakwa pembalak berkenaan juga akan membina sekatan di kawasan dekat Hutan Simpan untuk menghalang mereka daripada masuk ke tanah adat mereka sendiri.
“Mereka masuk pagi tadi, nak robohkan sekatan kita.
“Sekarang ini mereka pula nak pasang sekatan, nak letak papan tanda dilarang masuk,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Tindakan pembalak ini menyusul sehari selepas polis menahan tiga lelaki Orang Asli Temiar yang dituduh cuba menghalang pembalak daripada masuk ke kawasan hutan itu.
Ketua Polis Daerah Gerik Ismail Che Isa berkata ketiga-tiga Orang Asli itu, Zaiman Long, 36, Jamal Endi, 38, dan Mohamad Nazreen Bah Dadu, 22, dibebaskan petang semalam selepas keterangan mereka diambil.
Dalam pada itu, Anjang turut mempersoalkan tindakan polis menggari tiga lelaki yang ditahan semalam.
“Kenapa nak bawa balai perlu gari mereka. Apakah salah kami?
“Hanya kerana kami cuba mempertahankan tanah adat kami, hak kami, adil ke untuk kami ditahan?” tanyanya.
Ismail turut dipetik menjelaskan tiga lelaki itu diambil keterangan mereka susulan dua laporan yang dibuat oleh syarikat pembalak pada Rabu dan Jumaat lalu kerana tidak puas hati dengan sekatan yang dibuat oleh Orang Asli.
Masyarakat Orang Asli di Kampung Sungai Papan mendakwa pembalak cuba memasuki tanah adat mereka yang didaftar atas nama Ong Kensel sejak April lalu.
Kelmarin, mereka mengadakan pertemuan dengan Jabatan Perhutanan Perak untuk membincangkan isu pencerobohan tanah adat Orang Asli.
Namun mereka dimaklumkan bahawa pembalak tersebut mempunyai permit yang diluluskan oleh exco negeri.
Anjang berkata mereka sudah meminta supaya ditunjukkan permit itu tetapi diberitahu dokumen tersebut “rahsia kerajaan”.
Semalam, Menteri Perpaduan Negara dan Intergrasi Nasional, P Waytha Moorthy dalam reaksinya terhadap penahanan tiga Orang Asli itu berkata permit kerajaan negeri kepada pembalak tidak sah selagi status tanah adat tidak diputuskan mengikut undang-undang.
Katanya, mahkamah selama ini sudah mengiktiraf kedudukan tanah adat Orang Asli dan tindakan mengeluarkan permit membalak di tanah berkenaan melampui ketetapan undang-undang. – 21 Julai, 2019.
Komen