ALKOHOL tercemar dengan paras metanol yang mempunyai potensi toksik menyebabkan 19 orang maut di Costa Rica, dengan pihak berkuasa mengeluarkan amaran terhadap beberapa jenama minuman.
Kementerian Kesihatan mengeluarkan amaran pada Jumaat sementara mengemas kini jumlah kematian.
Daripada 34 orang keracunan, 14 lelaki dan lima wanita, berusia 32 hingga 72 tahun, meninggal dunia sejak minggu pertama bulan Jun, kata kementerian itu.
Pihak berkuasa memberi amaran tidak diketahui berapa banyak alkohol tercemar tetapi bertindak merampas kira-kira 30,000 botol dan menjalankan penyiasatan di seluruh negara.
Dilaporkan alkohol berkenaan mengandungi antara 30 hingga 50% metanol, kata Donald Corella, ketua perkhidmatan kecemasan di Hospital Calderon Guardia di San Jose, yang disiar oleh akhbar La Nacion.
Beliau berkata enam orang yang dirawat di hospitalnya meninggal dunia, manakala empat yang lain masih hidup tetapi mengalami “kesan serius” seperti buta yang tidak dapat dipulihkan dan kecederaan otak.
Jika diminum dalam kuantiti yang banyak, metanol boleh menyebabkan kebutaan, kerosakan hati dan kematian.
Menurut pihak berkuasa, majoriti 19 kematian berlaku di kalangan gelandangan dan kaki minum. – AFP, 21 Julai, 2019.
Komen