SEORANG daripada dua mangsa pembunuhan yang ditemui minggu ini di Kanada barat adalah anak kepada seorang pegawai polis Australia berpangkat tinggi, kata polis negara itu.
Mayat Lucas Robertson Fowler dari Sydney berusia 23 tahun, dan Chynna Noelle Deese, 24, dari Carolina Utara, Amerika Syarikat, ditemui pada Isnin di jalan raya terpencil di wilayah utara British Columbia, kata polis dalam satu kenyataan pada petang Jumaat.
Sebuah minivan Chevrolet biru yang didaftarkan di wilayah Alberta ditemui di tepi jalan, kata Polis Diraja Kanada (RCMP) tanpa mengesahkan sama ada ia milik pasangan itu.
RCMP tidak segera bertindak balas terhadap permintaan AFP untuk mendapatkan keterangan lanjut.
Menurut media tempatan, Fowler menetap di British Columbia tetapi pasangan itu kerap menggembara.
Badan penyiar Australia ABC berkata Fowler adalah anak kepada Stephen Fowler, ketua inspektor polis di New South Wales, Australia.
Ia melaporkan, seorang pegawai polis Australia mengatakan pasangan itu dilaporkan ditembak kejam.
RCMP dalam siasatannya berkata, ia masih diperingkat awal dan belum jelas sama ada Lucas dan Chynna menjadi sasaran atau jenayah rambang.
Keluarga kedua-dua mangsa sudah bertolak ke Kanada, kata kenyataan RCMP.
“Kehilangan seseorang yang begitu muda dan bersemangat, yang mengembara ke seluruh dunia dan menikmati kehidupan sepenuhnya, amat menyedihkan,” kata keluarga Fowler dalam satu kenyataan yang disiarkan di sebuah laman web polis Australia. – AFP, 21 Julai, 2019.
Komen