SEHARI selepas Twitter menggantung akaun beberapa media Iran, perkhidmatan rangkaian sosial itu berkata pada Sabtu ia bertindak selepas gangguan daripada mereka yang dikaitkan dengan agama Baha’i.
Ketika ketegangan di rantau ini, bertambah dengan rampasan kapal tangki Britain pada Jumaat, beberapa media yang terjejas membuat spekulasi penggantungan itu berkaitan dengan liputan mereka terhadap rampasan tersebut.
Tetapi Twitter berkata, ia susulan gangguan yang diselaraskan dan disasarkan oleh mereka yang dikaitkan dengan agama Baha’i, minoriti yang sekian lama ditindas di Iran.
Ia tidak menamakan akaun digantung, dan berkata sedang menyiasat perkara itu.
Agensi berita Mehr, yang hampir dengan pihak konservatif sederhana di Iran, mengatakan akaun bahasa Parsi disekat pada petang Jumaat berikutan laporannya mengenai penyitaan kapal tangki Stena Impero di Selat Hormuz yang strategik.
Halaman Twitter Mehr’s Farsi tidak boleh diakses pada Sabtu, bersama-sama dengan agensi berita rasmi IRNA dan agensi Kelab Wartawan Muda.
“Sejak semalam dan selepas rampasan kapal tangki Britain di Selat Hormuz, akaun Kelab Wartawan Muda dan beberapa pengguna lain telah digantung,” kata YJC di laman webnya.
Mehr menyatakan akaun Mehr Diplomacy miliknya, yang menerbitkan analisis dan wawancara mengenai dasar luar, juga tidak dapat diakses.
Satu lagi akaun yang terjejas adalah milik Ali Akbar Raefipoor, seorang penceramah.
Tiada seorang pun daripada pemilik akaun yang digantung berkata mereka diberikan sebarang alasan berhubung tindakan Twitter itu.
Platform mikro-blog dilarang di Iran, tetapi banyak ramai yang masih memiliki akaun dan orang mengaksesnya dengan menggunakan jaringan peribadi maya, atau VPN, untuk memintas penapisan. – AFP, 21 Julai, 2019.
Komen