BRITISH Airways pada Sabtu menggantung penerbangan ke Kaherah selama tujuh hari sebagai langkah berjaga-jaga susulan faktor keselamatan.
Pesawat Jerman, Lufthansa juga berkata ia menggantung penerbangan ke Kaherah dari Munich dan Frankfurt pada Sabtu tanpa memberi sebarang sebab.
Jurucakap Lufthansa berkata perkhidmatan akan kembali seperti biasa pada Ahad.
Syarikat penerbangan British berkata ia tidak akan menyambung perkhidmatannya melainkan selepas ia berasa selamat untuk berbuat demikian.
“Kami sentiasa memantau semula pengaturan keselamatan di semua lapangan terbang di seluruh dunia, dan menggantung penerbangan ke Kaherah selama tujuh hari sebagai langkah berjaga-jaga untuk membolehkan penilaian selanjutnya,” kata syarikat penerbangan itu dalam satu kenyataan.
“Keselamatan pelanggan dan krew kami sentiasa menjadi keutamaan dan kami tidak akan membenarkan pesawat beroperasi kecuali selamat untuk berbuat demikian.”
Kementerian Penerbangan Awam Mesir berkata ia sedang menangani isu itu dengan kedutaan Britain di Kaherah dan wakil British Airways serta memulakan penerbangan EgyptAir tambahan ke London setiap hari untuk membawa penumpang terkandas.
Beberapa penumpang yang terjejas menyiarkan gambar di media sosial yang dilihat menunjukkan surat diberikan oleh British Airways dengan mesej serupa.
Seorang jurucakap syarikat penerbangan itu berkata ia tidak dapat memberikan maklumat lebih lanjut mengenai penggantungan itu.
Dalam nasihat perjalanannya untuk warga negara Britain yang menuju ke Mesir, Pejabat Luar Negeri di London memberi amaran: “Ada risiko keganasan terhadap penerbangan.”
“Langkah keselamatan tambahan disediakan untuk penerbangan yang berlepas dari Mesir ke UK. Anda harus bekerjasama sepenuhnya dengan pegawai keselamatan di lapangan terbang.”
Dianggarkan 415,000 warga British mengunjungi Mesir pada 2018.
Britain membatalkan penerbangan ke Mesir Sharm El-Sheikh pada 2015 selepas pengganas mengebom sebuah kapal terbang Rusia yang membawa pelancong dari resort Laut Merah, membunuh lebih 220 orang. – AFP, 21 Julai, 2019.
Komen