NOR “Phoenix” Diana mahu terus mengembangkan bakatnya di arena gusti walaupun penglibatannya sebagai seorang wanita – dan bertudung – dalam sukan lasak itu dikecam oleh segelintir masyarakat.
Gadis kecil molek, yang hanya mahu dikenali dengan namanya di gelanggang, bercita-cita maju dalam sukan lasak itu sampai ke peringkat antarabangsa.
Katanya, kritikan umum diterima tidak melemahkan semangat sebaliknya jadi pendorong untuk beliau membuktikan kemampuan diri dalam dunia gusti.
“Kita tak boleh nak buat semua orang gembira,” katanya dalam satu wawancara dengan The Malaysian Insight.
Diana, 19, bagaimanapun tidak mahu diberi perhatian kerana penampilannya yang bertudung tetapi kerana bakatnya.
“Mungkin sekarang orang kenal dengan ahli gusti hijab pertama di dunia tetapi Diana tak nak orang terlepas pandang dengan bakat Diana,” katanya.
Beliau yang sekarang bekerja sebagai pembantu klinik di sebuah hospital swasta turut berazam menjadikan gusti sebagai kerjaya tetap.

Gadis ini jadi perhatian dunia selepas menjuarai pertandingan “Pro Wrestling – The Wrestlecon” di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Kemenangan gadis kelahiran Kuala Lumpur ini tular di media sosial dan mendapat perhatian media antarabangsa.
Sebagai Nor Phoenix, beliau terkenal kerana aksi menyerang lawan dengan menghempaskan badan secara melayang dari penjuru gelanggang.
Selepas aksi dan berita kemenangannya tular, ada suara di media sosial yang mengkritik kononnya penampilan beliau yang bertudung tidak sesuai dengan sukan gusti.
“Mereka cakap tak payahlah nak gusti sebab tak baiklah… sebab (perempuan) Islam bukan macam ini. Tapi sekarang, apa yang Diana buat adalah hak Diana.
“Ada yang kata lebih baik tak payah pakai hijab. Bagi Diana, hijab ini sebagai satu keperluan dan memang kewajiban,” katanya yang sudah empat tahun berkecimpung dalam sukan gusti.
Dalam tempoh empat tahun ini, Nor Phoenix sudah bertarung di gelanggang 10 kali dan pada peringkat awal, sebelum bertudung, dengan penampilan bertopeng.
Menurut Diana, beliau sudah mendapat jemputan untuk beraksi di luar negara dan berharap dapat mengharumkan nama Malaysia.
“Harapan Diana kalau orang luar negara pun sekarang ada perasan ahli gusti di Malaysia, Diana harap bila pergi keluar negara Diana akan bawa nama Malaysia.” – 21 Julai, 2019.
Komen