Doktor temui darah, muntah dan air liur dalam mulut Jong-nam


Muzliza Mustafa

Dua wanita warga Indonesia dan Vietnam dibicarakan di Mahkamah Tinggi Shah Alam atas tuduhan membunuh Kim Jong-nam, abang tiri pemimpin Korea Utara pada Februari. – Gambar AFP, 3 Oktober, 2017.

DOKTOR Nik Mohd Adzrul Ariff Raja Azlan memberitahu Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini beliau menemui campuran darah, muntah dan air liur ketika memulakan prosedur intubasi kepada Kim Jong-nam untuk menambah kadar serapan oksigen.

Nik Adzrul ialah doktor Klinik Menara dan pegawai perubatan pertama yang merawat Jong-nam kerana mangsa menunjukkan simptom klasik sawan.

Sebelum itu, Nik Adzrul turut memberi suntikan adrenalina dan endorfin bagi meningkatkan kadar serapan oksigen dalam darahnya yang berkurang di bawah paras 40%.

Hanya selepas itu beliau melakukan intubasi itu.

Saksi itu berkata Jong-nam masih hidup sepanjang prosedur dijalankannya bersama pembantu perubatan.

Prosiding kes hari kedua pagi ini tertangguh seketika jam 9:50 pagi berikutan masalah teknikal.

Nik Mohd Adzrul Ariff meneruskan keterangannya selepas masa mahkamah berakhir semalam.

Hakim Mahkamah Tinggi Azmi Ariff yang mendengar perbicaraan itu beberapa kali meminta Nik Adzrul mengulangi keterangan kerana suaranya terlalu lembut dan kurang jelas.

Beberapa minit kemudian sistem rakaman mahkamah berhenti berfungsi menyebabkan hakim terpaksa menangguhkan prosiding selama 10 minit. – 3 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen